Polis kejar Honda Civic sejauh 35km

Adegan mengejar antara polis dan suspek
Adegan mengejar antara polis dan suspek
A
A
A

JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis selepas dikejar enam buah Unit Kereta Peronda (MPV) sejauh kira-kira 35 kilometer dalam masa 35 minit di Lebuhraya Pasir Gudang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, seorang anggota polis MPV Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) telah ternampak sebuah kereta jenis Honda Civic FC berwarna putih yang dinaiki ketiga-tiga suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkannya berhenti dengan membunyikan siren.

Ketua Polis Daerah JBS, Asisten Komisioner Shahurinain Jais, bagaimanapun, kereta yang dipandu oleh salah seorang suspek lelaki itu enggan berhenti untuk diperiksa dan suspek memandu laju bagi mengelakkan diri ditahan menyebabkan anggota MPV JBS mengejar kereta tersebut.

“MPV JBS kemudiannya dibantu lima MPV IPD Seri Alam terus mengejar mereka dan suspek yang memandu kereta itu turut bertindak memandu lawan arus ketika di Seri Alam selain melanggar sebuah MPV IPD Seri Alam dan dua buah kereta orang awam.

“Anggota MPV terus mengejar kereta tersebut sehingga ke Jalan Datin Halimah, Larkin. Ketika sampai di situ kereta tersebut terbabas dan dua suspek lelaki berkenaan bertindak melarikan diri sejauh 100 meter sebelum mereka akhirnya berjaya ditahan.

“Manakala, seorang suspek wanita itu masih berada di dalam kereta itu. Ketiga-tiga mereka ditahan di tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Larkin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kereta yang dirampas
Kereta yang dirampas

Shahurinain berkata, hasil siasatan mendapati, semakan nombor casis kereta itu menunjukkan ia direkodkan sebagai kereta yang dilaporkan hilang di Kota Damansara.

Artikel Berkaitan:

“Selain kereta yang dinaiki mereka, pelbagai barangan lain turut dirampas termasuklah sebatang 'allen key' yang diubahsuai, sebatang spanar saiz 10, sebatang pengumpil kuku kambing berwarna hijau, satu dompet wanita jenama Sophie Paris warna susu dan dua alatan jauh berlogo Honda dan Mitsubishi.

“Kedua-dua lelaki itu berumur 36 tahun dan bekerja sebagai mekanik, manakala wanita berkenaan yang berumur 22 tahun dan tidak bekerja dipohon reman pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap mereka mendapati kesemuanya positif dadah.

“Kesemua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan penglibatan kes berkaitan sindiket dadah belum dapat dipastikan, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Cawangan trafik IPD Seri Alam juga turut membuka kertas siasatan kerana suspek memandu secara merbahaya.

“Kes disiasat mengikut Sek 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Pelbagai peralatan dirampas
Pelbagai peralatan dirampas