Wang simpanan RM34,000 lebur

Mohd Wazir Mohd
Mohd Wazir Mohd
A
A
A

KUANTAN - Seorang jururawat berputih mata apabila wang simpanannya lebih RM34,000 lesap akibat terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang tidak wujud.

Mangsa berusia 40 tahun yang bertugas di sebuah klinik di Temerloh membuat laporan polis semalam selepas pinjaman RM10,000 yang dipohon tidak dapat sebaliknya dia pula terpaksa membayar lebih tiga kali ganda daripada jumlah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd berkata, mangsa menerima dua tawaran iklan pinjaman wang berkonsepkan Islamik melalui WhatsApp pada 5 Julai tahun lalu.

Menurutnya, suspek termasuk seorang wanita yang menyamar sebagai ejen pinjaman menawarkan pinjaman RM10,000 dan meminta mangsa membuat bayaran ke akaun mereka bagi tujuan kelulusan pinjaman tersebut.

“Tertarik dengan pinjaman Islamik yang ditawarkan, mangsa membuat bayaran pertama pada 29 Ogos 2018 melalui akaun atas nama seorang lelaki berbangsa Cina.

“Sehingga 31 Januari lalu, mangsa membuat beberapa bayaran seperti diarahkan membabitkan jumlah keseluruhan RM34, 810,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kali terakhir mangsa menghubungi suspek untuk mengetahui perkembangan status permohonan pinjamannya pada 31 Januari lalu.

“Selepas tarikh tersebut, suspek gagal dihubungi dan mangsa syak dia sudah ditipu sebelum membuat laporan polis semalam selepas langsung tidak menerima sebarang bayaran daripada pinjaman dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Susulan laporan dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Sekseyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan termasuk mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan.