'Bagus bina tugu peringatan, tapi lebih baik dibangunkan'

Kejadian Highland Towers runtuh yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu telah mengorbankan 48 nyawa. (Zulbahri Abdullah, Azlan Kamis, Al Bakri Ali )
Kejadian Highland Towers runtuh yang berlaku pada 11 Disember 1993 itu telah mengorbankan 48 nyawa. (Zulbahri Abdullah, Azlan Kamis, Al Bakri Ali )
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan menjadikan tapak Highland Tower sebagai lokasi bersejarah dianggap langkah tepat bagi memperingati kejadian runtuhan bangunan yang mengorbankan 48 nyawa pada 1993.

Seorang penduduk Bukit Antarabangsa, Azlan Kamis, 55, berkata, ia dapat dijadikan iktibar buat pemaju perumahan dan kerajaan untuk lebih bertanggungjawab sewaktu melaksana dan meluluskan sesuatu projek.

Menurutnya, beliau meminta kerajaan mendedahkan secara terperinci punca tragedi yang mana sebuah bangunan yang nampak kukuh dan mengikut spesifikasi serta melalui proses kelulusan boleh runtuh.

"Tugu peringatan (tapak bersejarah) ini bagus untuk memperingati mangsa yang terkorban dan kedua sebagai pengajaran kesan kerakusan pembangunan di tempat tinggi.

"Bukan hanya mengingati mangsa yang terkorban tetapi peringatan kepada yang hidup. Inilah peringatan yang sepatutnya disampaikan kepada generasi akan datang supaya insiden sama tidak berulang," katanya mengulas cadangan pembangunan tapak Highland Tower yang terbiar selama 27 tahun itu.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menjelaskan bahawa kementeriannya tidak berhasrat membina tugu peringatan di lokasi runtuhan kondominium Highland Tower sebaliknya bercadang mengindahkan semula kawasan itu selain menjadikannya tapak bersejarah bagi memperingati tragedi berkenaan.

Azlan yang juga penasihat perundangan Bukit Antarabangsa Task Force berkata, kebiasaannya pihak pemaju dan konsultan memaklumkan telah melalui prosedur undang-undang serta jaminan keselamatan namun kesannya masih dirasai penduduk setempat.

"Selepas kejadian Highland Tower masih ada pembangunan yang di buat di kawasan sekitarnya, bermakna kejadian itu tidak diambil berat, banyak pihak masih leka.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mahu tapak tersebut terlibat dalam sebarang projek pembangunan komersial untuk mengaut keuntungan. Lokasinya sensitif dan sudah ada sejarahnya, tak boleh sentuh lagi isu nak buat rumah.

"Banyak lagi tempat lain yang boleh dibangunkan. Lebih elok kawasan ini selain dibina sebuah memorial dijadikan tempat rekreasi atau riadah bagi penduduk persekitaran," katanya.

Berbeza pula pandangan oleh seorang lagi penduduk, Zulbahri Abdullah, 62, yang berkata, kawasan tersebut boleh dilaksanakan pembangunan namun perlu dilakukan kerja pengukuhan tanah dan cerun terlebih dulu.

"Saya tiada masalah untuk memperindahkan kawasan itu namun secara teknikalnya penyelenggaraan cerun perlu dibuat dulu. Tapi persoalannya kenapa nak perindah kawasan itu sampai perlu buat tugu, itu saya tak setuju.

"Pada saya tugu itu dibina untuk peringatan negara, perjuangan atau kemerdekaan tapi tidak untuk memperingati bangunan roboh yang menunjukkan kegagalan pembangunan di sana," katanya.

Tambahnya lagi, cadangan pembinaan tugu peringatan itu juga bakal mempengaruhi nilai hartanah dan tahap keyakinan pembeli rumah di kawasan tersebut apabila sering dibangkitkan dengan tragedi bangunan Highland Tower runtuh.

Sementara itu, Pengerusi Bukit Antarabangsa Task Force, Datuk Al Bakri Ali berkata, sebarang cadangan projek yang dijalankan di kawasan itu mestilah memberikan manfaat dan mengutamakan keselamatan penduduk setempat.

"Banyak ura-ura dan cadangan pembangunan di tapak itu, namun pada saya tak perlulah sehingga membina tugu peringatan atau bangunan tinggi. Cukup kawasan itu di ubah suai bagi melupakan tragedi besar buat negara khususnya bagi kawasan Ampang.

"Contohnya dibina banglo atau teres, buat ikut kesesuaian situasi dan garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ditetapkan. Ia nampak ke arah baik pulih kawasan dan bawa hasil kepada PBT juga kerajaan yang membelanjakan RM8 juta bagi mendapatkan tanah itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu melakukan kajian terperinci di lokasi sebelum mengemukakan sebarang cadangan pembangunan agar nampak realistik dan tidak memudaratkan penduduk setempat.

" Saya sokong pembangunan daripada kawasan itu terbiar dan menjadi sarang penagih dadah, tetapi pembangunan itu mestilah bersama dengan syarat-syarat yang ditetapkan, kesilapan pembangunan disebabkan tangan manusia itu perlu diperbaiki.

"Persoalan pembangunan yang dijalankan itu demi keuntungan rakyat atau pihak berwajib perlu difikirkan.

"Jika mahu dibina tugu peringatan biarlah tidak keterlaluan, cukup sekadar papan bertulis dan diseimbangkan dengan pembangunan lain yang memberikan manfaat buat penduduk juga," katanya.