AMK anggap ‘Grand Coalition’ sebagai idea pramatang

Ahmad Syukri Che Ab Razak
Ahmad Syukri Che Ab Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menganggap ‘Grand Coalition’ atau gabungan besar pembangkang sebagai idea yang pramatang kerana strategi itu sudah lama diamalkan dalam politik negara.

Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak berkata, semua pihak memahami objektif gabungan itu yang membabitkan kesatuan pembangkang membentuk pertembungan dwi blok.

Katanya, pembentukan itu mencerahkan peluang pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Walaupun formula idea ini berpotensi menjamin kemenangan dalam PRU,namun perbincangan ini tidak akan berkembang jika ia hanya berfokus kepada kuantiti dan jumlah ahli dalam parti.

“Mungkin apa yang mereka mahukan ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) membentuk gabungan baharu dengan parti lain seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) dan lain-lain.

“Alasan mereka cukup idealis iaitu dengan gabungan yang besar dan ramai, pembangkang akan lebih kuat menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun menurut Ahmad Syukri, adalah amat pra-matang jika perbincangan mengenai ‘Grand Coalition’ itu hanya berlegar di sekitar saiz atau nombor.

Beliau menegaskan supaya menilai sejarah perjuangan politik pembangkang yang lepas sebagai peringatan.

Artikel Berkaitan:

“Kita wajar belajar sejarah perjuangan panjang politik pembangkang di Malaysia. Bagaimana persefahaman yang rapuh akhirnya menyebabkan kesatuan pembangkang hancur.

“Tidak perlu pergi terlalu jauh, lihat saja sikap kepimpinan PH sewaktu menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Tanpa segan silu ada yang menyebut ‘manifesto bukan kitab suci’ yang menyebabkan rakyat meremehkan keseriusan PH dalam menunaikan janji,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar iaitu ‘Grand Coalition’.

Katanya, kerjasama itu penting untuk menghadapi PRU yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.