Peniaga rugi RM90,581 ditipu sindiket pelaburan emas

Suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan emas tidak wujud di laman sosial. - Foto 123RF
Suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan emas tidak wujud di laman sosial. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga dalam talian mendakwa kerugian RM90,581 selepas diperdaya sindiket pelaburan emas tidak wujud melalui laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 36 tahun itu mendakwa telah tertarik dengan iklan yang dilihatnya menerusi laman Facebook.

Menurutnya, wanita itu kemudian berhubung dengan seorang ejen dikenali Zainuddin menerusi telegram dan dijanjikan akan mendapat keuntungan berlipat ganda dalam masa beberapa hari selepas membuat pelaburan yang kononnya beralamat di United Kingdom.

"Wanita itu telah bertindak melakukan pindahan wang berjumlah RM90,581.70 ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan ejen berkenaan bermula 16 Oktober sehingga 11 Disember lepas.

"Namun, mangsa yang telah kehabisan wang telah berasa tertipu oleh suspek kerana tidak mendapat sebarang pulangan dalam tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bentong pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:


"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan," katanya.