Jangan salahkan Jakim, JAIN dalam isu kartel daging

Mohd Izhar
Mohd Izhar
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seharusnya tidak boleh dipersalahkan dalam isu kartel daging yang diimport dari negara sumber tidak sah termasuk diragui sumber halalnya.

Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa dan Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, kedua-dua agensi berkenaan tidak pernah memberikan sijil halal bagi kemasukan daging berkenaan termasuklah cop yang tak diiktiraf Jakim ataupun JAIN.

"Ini bermakna, ia sepatutnya tidak boleh dilepaskan masuk tetapi persoalannya bagaimana ia boleh memasuki pasaran Malaysia?

ARTIKEL BERKAITAN: Siasat terperinci dakwaan rasuah isu kartel daging tidak halal

Nama syarikat terlibat kartel daging haram didedah selepas pendakwaan

30 pusat pengedaran dipercayai ada kaitan kartel

"Perkara ini yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jakim sendiri tiada kuasa untuk membenarkan kemasukan daging berkenaan yang berlarutan sekian lama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Isnin lalu, media mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai 'membeli' beberapa kakitangan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Justeru, beliau menegaskan bahawa siasatan lanjut mengenai isu kartel berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Jakim.

Katanya, Jakim dan JAIN boleh dipersalahkan jika mereka bertanggungjawab memberi sijil halal kepada pihak terbabit tetapi perkara sedemikian tidak berlaku.

"Jadi, jawapannya kita perlu tunggu pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, semua daging luar negara yang masuk ke Malaysia wajib mendapat kelulusan sijil halal Malaysia dan Jabatan Veterinar Malaysia.

Namun, katanya, ia perlu melalui proses yang lebih awal iaitu dengan mempunyai surat-surat sokongan termasuk daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan lain-lain.

"Tugas Jakim dan JAIN hanya melihat kepada dokumen persijilan sahaja. Selain daripada itu, ia tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga pendakwah terkenal turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam membeli dan memakan daging import di pasaran yang tidak memiliki sijil halal keluaran Malaysia.

Malah, katanya, orang ramai seharusnya tidak terpedaya walaupun ia dijual dengan harga murah.

"Kes ini tidak membabitkan semua daging import luar negara, maka tidak perlu risau untuk makan daging import yang ada sijil halal Malaysia.

"Bagaimanapun, kita perlu elak daripada makan daging import yang tidak ada sijil halal Malaysia kerana ramai yang melakukan penipuan di luar pengetahuan pihak berkuasa," ujarnya.