Kadar tarif elektrik asas kekal, terima rebat

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah - Foto Bernama
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk mengekalkan kadar tarif elektrik asas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kadar 39.45 sen/kWj bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seluruh pengguna TNB juga akan menikmati pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh yang sama.

“Rebat yang pertama kali dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.

“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Regulatori Kedua TNB di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) sehingga 31 Disember 2021,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh tahun kedua 2020.

Jelasnya, langkah berkenaan adalah selaras dengan pelaksanaan mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

“Dengan pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj ini, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik di antara 3.6 peratus hingga 9.2 peratus.

“Pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil elektrik di antara 4.0 peratus hingga 5.2 peratus manakala bil elektrik bagi pengguna industri pula akan menurun di antara 4.6 hingga 6.1 peratus.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, kerajaan berharap dengan pemberian rebat itu dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Mekanisme ICPT yang diperkenalkan sejak Januari 2014 adalah sebahagian daripada Kerangka Dasar Penetapan Baharu Tarif Elektrik yang dikenali sebagai IBR.

Melalui mekanisme tersebut, pelarasan kadar tarif yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dibuat setiap enam bulan dan dikira berdasarkan kos untuk menjana elektrik.

Sejak ICPT diperkenalkan, pemberian rebat kali ini merupakan pemberian rebat kali kelapan dinikmati oleh pengguna TNB.