KHM lantik Kannagi bimbing Young Tigress

Subahan (dua dari kanan) memperkenalkan Kannagi (dua dari kiri) pada sidang media mengenai skuad Young Tigress di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Subahan (dua dari kanan) memperkenalkan Kannagi (dua dari kiri) pada sidang media mengenai skuad Young Tigress di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan pelantikan bekas pemain negara, A Kannagi sebagai pengendali pasukan Young Tigress yang akan membuat penampilan sulung pada Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Kannagi dipilih berdasarkan pengalaman dalam bidang kejurulatihan sejak 2013 dan kebolehannya untuk memberi nafas baharu bagi pihaknya dalam proses pencarian bakat pemain dan jurulatih serta memperkasakan jurulatih wanita.

Mengulas mengenai pasukan itu, Subahan berkata, pihaknya membuat keputusan untuk mewujudkan Young Tigress bagi memberi peluang kepada pemain berpotensi yang gagal mendapat tempat dalam skuad wanita kebangsaan yang dikenali sebagai skuad Projek 2026 kendalian Nasihin Nubli Ibrahim.

“Kita mengenal pasti banyak bakat muda, tetapi hanya 30 pemain dapat diserapkan dalam skuad kebangsaan. Pasukan wanita kita menduduki tempat ke-20 dunia tetapi boleh jadi lebih baik daripada itu, jadi nak beri pendedahan kepada lebih ramai pemain muda.

“Ini bukan pasukan one-off, kita akan cuba beri pendedahan lain seperti peluang untuk ke kejohanan antarabangsa dan latihan bersama skuad kebangsaan. Tetapi keputusan itu kita serah kepada Nasihin dan Pengarah Teknikal KHM, Paul Revington,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kannagi akan dibantu dua penolong jurulatih, Roshin Nordin dan Mohamad Sabri Mohamad, manakala Mohammad Nazrin Yahya dilantik sebagai pengurus pasukan itu, dan in i kali pertama KHM membariskan skuad pembangunan sejak LHM Wanita dimulakan pada 2015.

Selain Young Tigress, lima lagi pasukan yang akan bersaing dalam LHM Wanita bermula 14 Jan hingga 20 Feb ialah PKS Uniten-KPT, PDRM Blue Warriors, Sabah, Mutiara Impian-MSSPP-PSHA dan UniKL Ladies.

Ditanya mengenai kebenaran untuk membenarkan penonton ke stadium ketika LHM, Subahan berkata, pihaknya akan akur dengan apa juga keputusan kerajaan tetapi yang lebih penting ialah memastikan kejohanan itu dilangsungkan tanpa sebarang gangguan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kannagi berkata, pihaknya setakat ini telah mengenal pasti 24 pemain berpotensi berusia antara 18 hingga 22 tahun menerusi kejohanan seperti Piala Tun Abdul Razak dan Sukan Malaysia (Sukma) yang lepas.

“Kami juga akan membariskan lima pemain dari skuad kebangsaan dan tiga pemain senior berusia lebih 22 tahun sebagai pembakar semangat kepada pemain muda ini. Kita pilih pemain yang kita nampak ada potensi untuk wakili negara tetapi tidak dipanggil.

“Jadi ini masanya untuk mereka membuktikan kebolehan mereka dalam kejohanan utama. Sasaran kami ialah untuk membaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan tidak memberikan laluan mudah kepada pasukan lawan,” katanya.

Kannagi yang beraksi untuk skuad Malaysian Tigress dari 1997 hingga 2012 di peringkat Sukan Asia dan Komanwel, menceburi bidang kejurulatihan selepas persaraannya, selain turut berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa. - Bernama

-