Tebar 120 keping roti canai dalam banjir

Barangan di kedai roti canai Mohd Khairul Anuar telah diangkat ke tempat lebih tinggi sebelum kedainya dinaiki air.
Barangan di kedai roti canai Mohd Khairul Anuar telah diangkat ke tempat lebih tinggi sebelum kedainya dinaiki air.
A
A
A

KEMAMAN - Keputusan seorang peniaga meneruskan perniagaan walaupun premisnya di Kampung Seberang Tayor dekat sini dinaiki air membolehkan dia tersenyum apabila berjaya menebar 120 keping roti canai pada hari tersebut.

Mohd Khairul Anuar Hamzah, 29, berkata, dia membuat keputusan itu setelah memikirkan 10 kilogram (kg) doh roti canai telah siap diuli dan sedia untuk dijual sebelum kedainya dinaiki air pada kejadian banjir Jumaat lalu.

Menurutnya, kedai makan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu itu mula dinaiki air pada jam 2 pagi sebelum air mencecah sehingga paras satu meter tiga jam selepas itu.

"Saya mula buka kedai jam 7 pagi dan pada waktu itu saya hanya tawakal sahaja sebab tak pasti sama ada atau tidak pelanggan yang datang.

"Tak sangka ramai pula pelanggan yang datang dan mereka siap ambil gambar kedai yang dinaiki air. Malah ada dalam kalangan mereka kata seronok sebab dapat duduk sambil makan dalam air kerana bukan selalu dapat merasa macam tu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Khairul Anuar menebar roti canai walaupun kedainya di Kampung Seberang Tayor di Kemaman dinaiki air ketika itu.
Mohd Khairul Anuar menebar roti canai walaupun kedainya di Kampung Seberang Tayor di Kemaman dinaiki air ketika itu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Anuar yang turut dibantu ibunya, Zalina Mohd Dahlan, 52 beserta adik ipar dan dua sepupunya berkata, banjir gelombang pertama yang melanda daerah Kemaman pada 27 November lalu tidak menjejaskan kediaman serta kedainya.

"Ini kali pertama kedai saya dinaiki air, banjir sebelum ini hanya bahagian dapur sahaja dinaiki air itu pun paras air tidak begitu tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, saya hanya sempat beroperasi selama empat jam sebelum menutup kedai pada jam 11 pagi selepas air naik semakin tinggi sehingga kerusi dan meja pelanggan tenggelam," katanya.

Antara pelanggan yang berkunjung ke gerai roti canainya di Kampung Seberang Tayor, Kemaman mengambil kesempatan untuk bersarapan pagi di dalam air.
Antara pelanggan yang berkunjung ke gerai roti canainya di Kampung Seberang Tayor, Kemaman mengambil kesempatan untuk bersarapan pagi di dalam air.

Mohd Khairul Anuar berkata, dia terpaksa menutup kedainya itu apabila paras air naik sehingga mencecah dua meter walaupun ketika itu masih berbaki 5 kilogram lagi doh roti canai yang belum terjual.

Katanya, keadaan itu berlarutan sehingga jam 3 petang sebelum air mulai surut sepenuhnya pada Isnin dan operasi premisnya masih lagi ditutup kerana perlu melakukan kerja-kerja pembersihan akibat lumpur yang melekat pada ruangan kedai serta kediamannya.

Terdahulu, perkongsian rakaman gambar kedainya yang dinaiki air namun tetap dikunjungi pelanggan tular di media sosial Facebook sehingga mendapat 925 perkongsian. Kebanyakan netizen mengakui kagum dengan keadaan itu malah menyifatkan ia sebagai sesuatu yang istimewa kerana jarang berlaku serta menjadi antara kenangan terindah.

"Saya tak sangka ramai pula yang kongsi rakaman gambar itu kerana niat saya hanya untuk simpan sebagai kenangan," ujarnya.