PRU15: Pembahagian kerusi UMNO, Pas dan Bersatu dijangka selesai

Tuan Ibrahim (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Ahmad pada majlis yang berlangsung di Kota Bharu hari ini.
Tuan Ibrahim (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Ahmad pada majlis yang berlangsung di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pembahagian kerusi antara tiga parti Melayu, UMNO, Pas dan Bersatu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka dapat diselesaikan menerusi dua atau tiga perbincangan lagi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun perbincangan sebanyak tiga kali antara Pas dengan UMNO berkaitan perkara itu sudah lebih 50 peratus.

"Saya jangkalah... saya tidak berada dalam jawatankuasa pemilihan kerusi dan dimaklumkan perkara itu. Saya yakin kalau tengok pada perbincangan dibuat itu, dua, tiga kali lagi kita sudah boleh selesaikan.

"Pembahagian kerusi Pas dan UMNO lebih separuh sudah berjaya... namun kita cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dengan adanya Bersatu," katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyaksikan majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Perkhidmatan Sistem Pembetungan Awam Di Negeri Kelantan antara Majaari Services Sdn Bhd (Majaari) kepada Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara IWK dan Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM) Holdings Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Pengarah Eksekutif Majaari, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dan Pengarah Eksekutif KUM Holdings Sdn Bhd, Abdul Rashid Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak Pas itu berkata, dengan penyertaan Bersatu, pihaknya (Pas dan UMNO) akan melihat isu pengagihan kerusi secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

"Ia mudah untuk diselesaikan (pembahagian kerusi), kalau semua nak cari titik persamaan insya-ALLAH mudah. Untuk setakat ini, kita bincang peringkat kerusi Parlimen dulu.

"Dalam Muafakat Nasional kita ada satu jawatankuasa perundingan kerusi dan telah memulakan perbincangan dua, tiga kali dah, dan mesyuarat terakhir dibuat pada minggu lepas.

"Pada mesyuarat jawatankuasa induk yang saya pengerusikan bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamed Hasan kita bersetuju untuk jemput sekali Bersatu berada bersama dalam jawatankusa pengagihan kerusi," katanya.

Beliau berkata, Pas yang kini berada dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai pendokong kerajaan akan memastikan rundingan itu berjalan sebaik mungkin.

"Kita akan selesaikan sehabis baik supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU15,” katanya.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan antara UMNO dan Pas sudah 60 hingga 70 peratus selesai yang mana telah dipersetujui UMNO akan bertanding di 55 kerusi yang dimilikinya dan Pas tidak akan meletakkan calonnya.