X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Definisi umur warga emas 65 tahun hanya cadangan JKM: Rina Harun

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ditemu bual pemberita selepas melancarkan Program #[email protected] di Kejiranan Fasa B, Presint 8 pada Sabtu. - fotoBERNAMA
A
A

PUTRAJAYA - Perubahan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun hanyalah cadangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak dipersetujui, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Justeru, beliau meminta agar semua pihak tidak menimbulkan kekeliruan atau mempolitikkan isu itu serta fokus kepada usaha memantapkan lagi kesejahteraan dan kehidupan masyarakat khususnya keluarga.

"Saya yang mempengerusikan mesyuarat tetapi saya tak putuskan setuju pun. Ia merupakan cadangan yang kita bincangkan sebab kita melihat peningkatan kadar kesihatan yang lebih baik dan sebagainya.

"Ini hanyalah kertas perbincangan, bukan yang diputuskan atau menjadi dasar kementerian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program #[email protected] di sini hari ini.

Rina berkata, dalam fasa Malaysia menuju ke arah negara tua menjelang 2030 iaitu apabila jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus, persiapan yang dilaksanakan kementerian harus bergerak seiring dengan perkembangan itu.

"Hanya tinggal 10 tahun sahaja lagi. Jadi kita tak mahu mengganggu persiapan yang telah kita laksanakan," katanya.

Cadangan menaikkan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) pada Khamis lepas yang menimbulkan bantahan di media sosial.

Mengulas Program #[email protected], Rina berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan belia berusia lingkungan 13 hingga 24 tahun mendapat akses kepada perkhidmatan kafeTEEN terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Beliau berkata, ia adalah kafe bergerak yang menyediakan pelbagai kemudahan antaranya kaunseling, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Internet percuma serta pencetak selain aktiviti mencungkil bakat remaja seperti dalam bidang masakan.

"Ini adalah antara usaha kita menarik lebih ramai remaja untuk bersama dengan kafeTEEN dalam kita nak melahirkan remaja yang lebih berketrampilan, ceria dan lebih sihat. Biasanya program ini kita adakan dalam tempoh tiga hari dan kita fokus di kawasan yang berkepadatan tinggi," katanya.

Rina berkata, kafe itu adalah kesinambungan kepada 18 Pusat Remaja kafeTEEN di seluruh negara yang ditubuhkan sejak 2005 dan sehingga kini telah menarik sejumlah 636,722 peserta dengan 200,000 daripada bergerak aktif.

Katanya, pihaknya berhasrat mewujudkan 10 kafeTEEN bergerak pada tahun depan dengan sasaran peserta sehingga sejuta remaja di seluruh negara. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!