PDRM tidak lindungi anggota terlibat salah laku – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dalam salah laku, sebaliknya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, penahanan 12 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat yang disyaki terbabit dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki warga Vanuatu membuktikan komitmen PDRM untuk mempertahankan integriti pasukan dan tidak bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

"Hakikat bahawa pihak polis menangkap, menahan dan mengambil tindakan itu adalah mesej yang jelas bahawa PDRM tidak akan sama sekali bertolak ansur sekalipun terhadap anggota dia sendiri.

"Itu sudut pandang sayalah," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan seramai 12 pegawai dan anggota polis termasuk dua pegawai kanan berpangkat Deputi Superintenden Polis dan Asisten Superintenden ditahan bagi membantu siasatan kes memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu.

Mangsa didakwa diperas ugut sebanyak RM2 juta, namun hanya sempat menyerahkan wang tunai berjumlah AS$140,000 (kira-kira RM595,000) sebelum dibebaskan.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, PDRM sebenarnya boleh memilih untuk melindungi anggotanya atas semangat setiakawan dalam pasukan, namun tindakan sewajarnya tetap diambil berdasarkan lunas undang-undang.

"Kita boleh pilih untuk pendam sebab dia uniform sama dengan kita, Sang Saka Biru, tapi tak, tetap diambil tindakan. Itu saya ingat yang lebih penting," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tindakan tegas terhadap anggota sendiri mencerminkan komitmen PDRM untuk mempertahankan integriti pasukan dan memastikan tiada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!