Semangat MN jamin sokongan rakyat, kemenangan PN pada PRU15

Kamaruzaman
Kamaruzaman
A
A
A

SHAH ALAM – Asas Muafakat Nasional (MN) yang telah dibina oleh Pas dan UMNO perlu terus kekal sebagai teras yang mampu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini seterusnya demi kemenangan bersama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berpendapat, mana-mana pihak yang mengambil semangat MN yang terdiri daripada gabungan Melayu Islam Bumiputera itu, mampu menjamin keyakinan majoriti rakyat dalam pembentukan kerajaan.

“Saya merasakan bahawa asas MN yang telah dibina ini menjadi satu asas yang sangat baik. Sekiranya asas ini berjaya dikekalkan, saya yakin ia mampu memberikan keyakinan kepada rakyat untuk terus memilih parti yang mendokong konsep MN ini.

“Jadi apabila MN menjadi teras kepada kerajaan yang ada hari ini, maka semua parti politik perlu menyesuaikan diri dengan roh MN ini...semangat menyatukan rakyat terutamanya Melayu bumiputera ini jika diteruskan ia akan memberi peluang yang sangat cerah kepada mana-mana parti politik untuk memenangi PRU15," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi ke 217 yang membincangkan tajuk PRU 15: BN, PN Masih Tiada Persefahaman? yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Program dikendalikan oleh Dr Noor Nirwandy Mat Noordin selaku moderator itu turut menampilkan Mantan Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor sebagai panel.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, kunci kemenangan PN bagi PRU15 adalah persefahaman yang perlu wujud antara rakan-rakan parti komponen.

Dalam hal itu, katanya, Pas kini sedang berada pada posisi sebagai penghubung antara dua blok parti utama dalam PN memastikan asas perjuangan demi rakyat dapat dipersetujui bersama.

Artikel Berkaitan:

“Pas berada pada posisi ini untuk menjadi penghubung antara dua blok politik yang kita sebut secara terus terang UMNO dan Bersatu mungkin ada masalah yang masih belum lunak sepenuhnya.

“Ini sangat penting dalam memastikan kerajaan PN pada hari ini dapat terus berjalan dengan baik, utuh dan boleh kekal sehingga PRU15. Peranan ini boleh dimainkan seperti di Perak," katanya.

Ujar beliau, penting untuk PN memastikan setiap perundingan boleh berjalan secara baik dengan mengambil konsep ‘yang ada jangan kedekut, yang meminta jangan tamak’.

Setiap parti juga perlu sedar dan mengambil iktibar bahawa sistem politik pasca PRU14 telah berubah 100 peratus.

“Setiap parti perlu gabungkan prinsip politik bersama, bagi saya kemenangan Pas bukan tujuan utama Pas tapi yang penting PN perlu menang PRU15.

"Jika parti menang banyak kerusi tetapi tidak boleh membentuk kerajaan pun tidak guna,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kematangan BN kukuhkan PN