ADUN cadang wujudkan jawatankuasa pilih CEO GLC

Chuan How ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 di DUN Perak di sini hari ini.
Chuan How ketika membahaskan Belanjawan Perak 2021 di DUN Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri dicadang menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Kepimpinan Urus Tadbir Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi memilih individu berkelayakan menerajui GLC.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, jawatankuasa tersebut perlu dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang akan berbincang untuk memilih Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan jawatan-jawatan tertinggi di dalam GLC.

Menurutnya, cadangan tersebut dirasakan mampu dilaksanakan di bawah pentadbiran Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang memperlihatkan keterbukaan di dalam berpolitik.

"Kita sedang berbicara tentang reformasi institusi dan saya mengakui perkara ini tidak dapat ditangani sewaktu kita menjadi kerajaan memandangkan jawatan tertinggi dalam GLC seperti rampasan perang. Kalau menang perang, pilihan raya, kita dapat rampasan perang yang diberi kepada ahli-ahli parti iaitu jawatan-jawatan GLC ini.

"Kebanyakan jawatan tertinggi di dalam GLC dipegang oleh rakan-rakan dari parti pemerintah, mereka kawan saya juga, saya dah kenal mereka tetapi dalam soal nak reformasikan institusi, dengan pertukaran kepimpinan dalam kerajaan, baik kita ubah cara urus tadbir GLC sekarang yang agak parah, agak sakit yang perlukan rawatan," katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Perak 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Sementara itu, Chuan How menyambut baik pembentangan belanjawan yang diumumkan oleh Saarani dengan melibatkan semua pihak termasuk pembangkang.

Katanya, reformasi institusi seperti penglibatan ADUN pembangkang dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah adalah satu perkembangan positif dalam mematangkan demokrasi di negeri itu.

Tambah beliau, perkara itu perlu diambil kesempatan oleh ADUN tanpa mengira parti untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Artikel Berkaitan: