Kerajaan disaran naikkan syarat minimum EPC

Ras Adiba
Ras Adiba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran agar menaikkan syarat minimum gaji Elaun Pekerja Cacat (EPC) selaras dengan kenaikan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baru-baru ini.

Senator Ras Adiba Radzi berkata, buat masa ini EPC hanya layak dipohon mereka yang berpendapatan bawah RM1,200 sedangkan Had Pendapatan GPK Nasional yang baharu disemak pada Julai lalu adalah RM2,208.

“Walaupun mereka berpendapatan lebih RM1,200 tetapi masih perlu menanggung kos perubatan, sara hidup, pengangkutan serta teknologi bantuan yang tinggi.

“Bagaimana pula keadaan bagi orang kurang upaya (OKU) di bandar yang menanggung kos sara hidup begitu tinggi seperti sewa bilik atau rumah, harga makanan dan seumpamanya?

“Jadi, tiba masanya untuk kerajaan menaikkan syarat minimum gaji bagi EPC selaras dengan kenaikan PGK,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 pada Persidangan Dewan Negara hari ini.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar kerajaan dapat menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat warga OKU kepada RM1,000 seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu.

Menurutnya, berdasarkan keadaan ekonomi negara dan kos sara hidup tinggi ketika ini, bantuan bulanan itu amat penting bagi warga OKU.

Pada masa yang sama, beliau berkata, sudah sampai masanya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan awam yang disediakan khusus buat OKU.

Artikel Berkaitan:

“Penguatkuasaan yang serius seperti denda maksimum sehingga RM500 dan saman jika menyalah guna parkir khas OKU, amat perlu. Denda dan penalti seperti ini sudah lama dilaksanakan di negara luar seperti Australia dan Ireland,” katanya.

Sementara itu, ketika sesi sidang akhbar, Ras Adiba berkata, beliau berharap Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta OKU 2008 akan dibawa pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang sebagai usaha membela golongan OKU serta memantapkan penguatkuasaan undang-undang.

“Saya harap KPKT bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam usaha meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta OKU 2008 supaya penguatkuasaan ketat dapat dilaksanakan,” katanya. - Bernama