'Kenapa masih nak siasat punca kematian Adib'

Mohd Kassim Abdul Hamid
Mohd Kassim Abdul Hamid
A
A
A

ALOR SETAR - "Kenapa masih nak siasat punca kematian Adib, mereka tidak percaya kepada keputusan mahkamah?" luah Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, bapa kepada anggota bomba, Muhammad Adib yang meninggal dunia akibat rusuhan ketika kekecohan di tapak kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Menurut Mohd Kassim, ahli keluarga kini hanya mahu tahu pelaku yang menyebabkan kematian anak keduanya itu.

"Kami sudah lama bersabar untuk melihat sendiri wajah pelaku yang menyebabkan kematian Adib.

"Tetapi sampai sekarang kerajaan masih hendak siasat penyebab kematian Adib. Bukankah keputusan inkues yang lepas sudah jelas mengatakan bahawa kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, mahkamah sebelum ini juga sudah mengeluarkan arahan untuk menyiasat dan mencari individu yang menjadi penyebab kematian Muhammad Adib.

"Semua dokumen sudah ada, sepatutnya mereka gunakan dokumen siasatan itu untuk cari pelaku yang terlibat dalam kes ini.

"Saya bukan cakap kosong, saya cakap berdasarkan keputusan Mahkamah Koroner, bukan seorang saksi yang tampil beri penerangan sepanjang inkues itu, bukti-bukti pun ada.

"Jadi sudah-sudah la buang masa, nak tangguh sampai bila. Kami ahli keluarga semua berpegang pada keputusan inkues itu dan kami nak kerajaan cari pelaku secepat mungkin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil siasatan punca kematian Adib diketahui tidak lama lagi

Zuraida beri jaminan kes Adib akan diselesaikan

Pembela gesa PDRM, KDN perjelas kes Allahyarham Adib

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat memberitahu bahawa hasil siasatan terhadap penyebab kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan polis kini di peringkat akhir dan hasil siasatan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Pada 27 September 2019, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari 2019, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan Mohd Kassim turut dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Adib kesal kenyataan KPN

Pembunuh Adib diburu!

Bomba taruh harapan keadilan untuk arwah Adib

Siasatan kematian Muhammad Adib dalam proses akhir: Polis