Kenakan cukai terhadap cecair vape bernikotin

Cecair dan peranti rokok elektronik.
Cecair dan peranti rokok elektronik.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah percukaian eksais perlu merangkumi cecair vape yang mengandungi nikotin dan peraturan perlu diperkenalkan dengan segera ke atas industri vape termasuk mengawalselia standard produk cecair vape yang mengandungi nikotin.

Ini kerana pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa percukaian tersebut hanya dikenakan ke atas cecair vape yang tidak mengandungi nikotin.

Presiden Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, kerajaan perlu melaksanakan langkah percukaian dan peraturan secara holistik dan mengambil kira keadaan semasa dalam pasaran.

Dalam pasaran tempatan, katanya, lebih daripada 97 peratus cecair vape yang dijual mengandungi nikotin dan trend tersebut sama seperti di negara-negara lain.

"Namun begitu, percukaian dan peraturan untuk cecair vape yang mengandungi nikotin masih tidak dibuat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syed Azaudin
Syed Azaudin

Cukai eksais ke atas cecair rokok elektronik termasuk vape pada kadar RM0.40 setiap mililiter diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada November lalu. Selain itu, cukai eksais pada kadar 10 peratus ad valorem ke atas peranti vape turut diumumkan.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan melalui Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 melaporkan bahawa terdapat kira-kira 1.12 juta pengguna vape di negara ini.

Artikel Berkaitan:

DPVM menganggarkan terdapat sebanyak 3,000 perniagaan berkaitan vape di mana majoritinya adalah usahawan Bumiputera dan angka pekerja dalam industri ini mencecah hampir 25,000 orang.

Syed Azaudin berpendapat sekiranya cukai dikenakan hanya untuk cecair vape tanpa nikotin, tindakan tersebut tidak akan mendatangkan hasil kerana tidak mengambil kira keperluan industri dan pengguna.

Beliau berkata, DPVM juga menganggarkan industri vape di Malaysia bernilai lebih daripada RM2 bilion setahun.

“Industri vape di Malaysia bukannya kecil dan telah wujudnya satu eko-sistem matang dan besar yang merangkumi pengeluar, pengimport, pekedai serta pengguna. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh diabaikan.

"Oleh itu, percukaian serta peraturan yang holistik termasuk standard produk dan kepenggunaan cecair vape yang mengandungi nikotin perlu dibuat dengan segera oleh Kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, banyak negara maju telah memperkenalkan peraturan untuk industri vape termasuk mengawal standard produk dan kepenggunaan cecair vape yang mengandungi nikotin.

“Negara-negara seperti UK, New Zealand dan Kanada mengiktiraf peranan vape terutamanya dalam membantu perokok berhenti merokok dan beralih kepada vape yang telah terbukti kurang mudarat berbanding merokok.

"Negara-negara ini turut mewujudkan peraturan supaya kawalan dibuat dan pengguna mendapatkan produk yang mengikut standard produk yang ditetapkan," katanya.

Justeru katanya, industri vape memohon agar kerajaan menilai semua faktor-faktor ini dan membuat suatu peraturan serta percukaian yang holistik ke atas industri vape.