Suspek tikam bayi alami tekanan perasaan selepas bercerai

 Suspek yang menikam seorang bayi berusia 18 bulan di sebuah Flat Puchong Permai di sini semalam disyaki mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya.
Suspek yang menikam seorang bayi berusia 18 bulan di sebuah Flat Puchong Permai di sini semalam disyaki mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya.
A
A
A

SUBANG JAYA - Suspek yang menikam seorang bayi berusia 18 bulan di sebuah Flat Puchong Permai di sini semalam disyaki mengalami tekanan perasaan selepas bercerai dengan bekas isterinya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, motif kejadian itu dipercayai akibat suspek mengalami tekanan perasan selepas ditinggalkan isterinya.

“Suspek yang juga pekerja kedai aksesori kenderaan dikatakan sudah bercerai dengan isterinya dan menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya ketika ditemui di Subang Perdana di sini hari ini.

Abd Khalid berkata, mangsa dipindahkan dari Hospital Serdang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan malam tadi.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan di HKL, namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya.

Beliau memaklumkan suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini hingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan parah selepas ditikam bapanya, 27, yang dipercayai kurang siuman di flat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 30-an, berkata, beliau terdengar bunyi ketukan kuat pada dinding sebelum melihat ibu kepada suspek mundar-mandir di hadapan rumah.

"Pada mulanya, saya mengingatkan ia bunyi jiran sedang bertukang, kemudian saya melihat ibu kepada suspek dalam keadaan panik di luar rumahnya.

"Dia memaklumkan anak lelakinya mengamuk lalu menghalaunya keluar rumah sebelum mengunci pintu dari dalam," katanya.

Azie berkata, tidak lama kemudian sepasukan polis tiba dan memecah pintu rumah serta berjaya memberkas suspek.

"Polis turut membawa bayi yang dalam keadaan berlumuran darah keluar dari rumah itu," katanya.

Katanya, beliau mengenali keluarga itu selepas tinggal di kawasan kediaman berkenaan sejak tiga tahun lalu.

"Saya difahamkan bayi berkenaan tinggal bersama bapanya selepas lelaki itu bercerai dengan isterinya kira-kira dua tahun lalu," katanya.