Benih kerang RM500,000 untuk diseludup dirampas

AKSEM
AKSEM
A
A
A

ALOR SETAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah menahan dua lelaki dan merampas 100 kilogram benih kerang bernilai RM50,000 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, semalam.

Timbalan Komander Risikan dan Operasi Aksem Kedah, Inspektor Anandha Krishnan berkata, rampasan itu dibuat terhadap sebuah kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua lelaki berumur 30 dan 35 tahun di Kilometer 4.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Thailand di pekan Changlun, Kubang Pasu pada jam 10.10 malam.

"Kita menjalankan pemeriksaan ke atas kereta berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan sebelum menjumpai beberapa guni berwarna putih disyaki benih kerang di dalam bonet belakang kereta berkenaan dan dipercayai dibawa dari Perak.

"Harga benih kerang ini RM500 sekilogram dan sekiranya pemintaan tinggi di negara jiran harga itu boleh meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda. Bulan Januari hingga Mac adalah musim benih kerang ini jadi kita akan tingkat pemantauan dalam tempoh tiga bulan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anandha berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek menerima upah RM300 menghantar benih kerang itu dan bergerak kira-kira jam 2 atau 3 pagi bagi mengelakkan benih kerang terkena panas hingga menyebabkan ia mati.

"Mereka bergerak pada awal pagi dan apabila pintu sempadan buka, mereka akan terus masuk ke negara jiran. Kita dapati mereka juga menggunakan kereta lebih kecil berbanding kereta besar seperti Naza bagi mengelak daripada dikesan pihak penguatkuasa," katanya.

Beliau berkata nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM70,000 termasuk kereta itu dan kes disiasat mengikut Perkara 3(1) Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: