Dalang sindiket seludup rokok RM2.14 juta diburu

Antara kotak rokok yang ditemui di dalam kontena yang ditahan di Pelabuhan Klang, Isnin lalu.
Antara kotak rokok yang ditemui di dalam kontena yang ditahan di Pelabuhan Klang, Isnin lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 30.6 juta batang rokok susulan penahanan enam buah kontena di Pelabuhan Klang di sini Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.14 juta dengan jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM20.4 juta.

“Kesemua kontena tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Ahad lalu, hasil pemeriksaan kita menemui rokok putih berjenama dimuatkan di dalam kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati tiada borang manifes sama ada manifes import mahupun pindah kapal (transhipment) diserahkan oleh nakhoda kapal atau ejen perkapalan bagi ketibaan dagangan itu seperti dikehendaki di bawah Seksyen 52 Akta Kastam 1967.

“Siasatan juga mendapati tiada dokumen perkapalan yang dapat menunjukkan bahawa kontena tersebut telah didaratkan untuk tujuan pindah kapal," katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas syarikat ejen perkapalan sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket itu sedang dikesan.

"Kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana disyaki melakukan kesalahan antaranya gagal menyerahkan manifes tidak kurang dari 24 jam sebelum ketibaan kapal di bawah Seksyen 52 (1) Akta Kastam 1967.

“Kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976,” katanya.

Artikel Berkaitan: