Guru sudah ada asas ICT, mudahkan pendidikan dalam talian

HASSAN NUDIN. Foto: Rosli Talib
HASSAN NUDIN. Foto: Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan guru-guru di negara ini sudah mempunyai pengetahuan asas mengenai penggunaan teknologi maklumat (ICT) termasuk komputer, sekali gus mendedahkan mereka berhubung pendidikan secara dalam talian (online).

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan (KPM), Hassan Nudin A Hamid berkata, dengan pengetahuan asas ICT itu, maka dari segi keupayaan guru untuk melaksanakan pendidikan secara online sebenarnya sudah ada.

Pada masa sama, katanya, KPM turut melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan mereka mempunyai kemahiran tersebut.

Beliau berkata, menyorot kembali sewaktu beliau mula bertugas dengan KPM sebagai guru pada tahun 1990, ketika itu pendidikan ICT sudah bermula cuma penggunaan komputer tidak dibuat secara meluas dalam proses pengajaran di bilik darjah.

Menurutnya, pada ketika itu peralatan komputer mahal dan kedua ia juga melibatkan dari segi keupayaan sekolah untuk memiliki peralatan tersebut.

"Walaupun secara asasnya pengajaran guru pada masa itu menggunakan papan kapur tetapi proses penggunaan ICT itu sudah ada dan ia terus berubah dengan penggunaan LCD (Paparan hablur cecair). Apabila negara semakin maju, perkembangan semasa pendidikan melalui komputer menjadi semakin penting.

"Jika lihat dari segi komitmen kementerian untuk memastikan guru-guru ada kemahiran dalam komputer, ia juga telah dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2023-2025 anjakan ketujuh iaitu guru-guru akan diberi penekanan dari segi aspek pengajaran menggunakan ICT dan inisiatif yang dilakukan kementerian bagi memastikan guru-guru dapat melaksanakan PdP (proses pengajaran dan pembelajaran) dengan menggunakan ICT," katanya pada Wacana al-Quran bertajuk 'Kelas Online: Makin Mudahkah Kerja Guru?' yang disiarkan secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini semalam.

Beliau berkata, banyak inisiatif yang dibuat KPM bagi memastikan guru-guru mempunyai sekurang-kurangnya asas penggunaan komputer.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, untuk menyatakan dengan tepat bilangan guru yang memiliki kemahiran itu agak sukar kerana terdapat lebih 400,000 guru di negara ini.

"Jadi secara asasnya guru-guru sebenarnya sudah bersedia dan apabila mereka sudah ada kemahiran asas menggunakan komputer dan ICT, maka tidak sukar untuk mereka melaksanakan pembelajaran secara online.

"Cuma apabila negara dilanda pandemik Covid-19, ia menjadi 'spark' dan penggunaan ICT ini menjadi satu keperluan dan harus digunakan semaksimum mungkin," katanya.