Lampard waspada aksi Pulisic

Christian Pulisic
Christian Pulisic
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard tetap berwaspada biarpun bakal menurunkan bintang Amerika Syarikat, Christian Pulisic pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Everton di Goodison Park awal pagi Ahad nanti.

Menurut Lampard, Pulisic sebenarnya baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring yang turut menyaksikan pemain berkenaan tidak diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara berdepan Krasnodar, Rabu lalu.

“Dia (Pulisic) sudah pun kembali menjalani latihan, namun kita tetap berwaspada dengan masalah kecederaannya.

“Pulisic juga dilihat agak berhati-hati ketika menjalani latihan kerana pastinya dia tidak mahu masalah kecederaan (hamstring) itu berulang.

“Apa pun, dia (Pulisic) tetap menjalani latihan secara normal dan dia dijangka berada dalam senarai kesebelasan pasukan bagi aksi di Goodison Park nanti,” katanya.

Untuk rekod, Pulisic dikatakan mengalami kecederaan berkenaan, setelah beraksi berdepan Leeds United 6 Disember lalu yang menyaksikan skuad The Blues itu menang 3-1 di Stamford Bridge.

Pada perlawanan berkenaan, Pulisic sendiri turut menjaringkan satu gol pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan berkenaan.

Sementara itu Lampard berkata, biarpun Pulisic dilaporkan mengalami kecederaan, namun dia tetap berusaha mencari jalan untuk memastikan pemain berkenaan dapat beraksi berdepan Everton.

Artikel Berkaitan:

“Sebenarnya, saya tidak mahu melihat keadaan (kecederaan) Pulisic ini sebagai sesuatu yang serius kerana pada aksi di pertengahan minggu lalu (Liga Juara-Juara), dia (Pulisic) sepatutnya diturunkan.

“Kita tahu kemampuan yang dimilikinya seperti yang telah ditunjukkannya pada aksi berdepan Leeds United.

“Oleh itu, kita hanya perlu mencari jalan bagaimana untuk memastikan dia dapat meneruskan aksi cemerlangnya itu pada masa hadapan dengan konsisten,” katanya.