SPRM tahan 2 pegawai kerajaan, 3 pengarah syarikat perkapalan

Kelima-lima individu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
Kelima-lima individu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima orang termasuk dua pegawai kanan kerajaan dan tiga pengarah syarikat perkapalan kerana disyaki terlibat skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan Malaysia.

Menurut sumber, kelima-lima individu berusia antara 35 hingga 54 tahun itu ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam.

"Kedua-dua pegawai kanan kerajaan ini didapati telah menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Ketua Pengarah Jabatan terbabit sendiri tidak mengetahui berhubung pengeluaran surat pengecualian ini sedangkan beliau sebelum ini telah mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom dalam mengangkut minyak Gred Berat di Perairan Malaysia.

"Terdapat banyak rungutan dan aduan yang diterima daripada pengusaha-pengusaha kapal lain yang telah bertukar kepada Double Hull, Double Bottom. Ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mengelakkan kebocoran dan pencemaran laut kesan dari tumpahan minyak oleh kapal jenis Single Hull," katanya.

Kelima-lima suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Kes disiasat di bawah seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Artikel Berkaitan: