Saarani janji ubati luka

Saarani Mohamad - Foto Bernama
Saarani Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - UMNO Perak akan berusaha untuk memperbaiki hubungan di antara parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, usaha menyatukan semula pemimpin UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah dimulakan sebelum ini.

Menurutnya, semua pihak diminta bersama-sama meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan bagi menjamin kestabilan negeri.

"Apabila ketiga-tiga presiden parti telah menandatangani persetujuan untuk menubuhkan kerajaan bersama UMNO, Pas, Bersatu bermakna kita telah bersiap sedia menyatukan hati-hati pemimpin dalam ketiga-tiga parti ini.

"Sudah tentu selepas ini saya akan berusaha untuk mengubat luka jika ada dan Insya-ALLAH kita akan memperbaiki apa sahaja kelemahan dalam hubungan di antara ketiga-tiga parti ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Saarani mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Saarani angkat sumpah Menteri Besar Perak ke-14

Lantikan tiga Menteri Besar cerminan kegagalan: Sultan Nazrin

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut menjunjung kasih dan mengambil maklum titah yang disampaikan oleh Sultan Nazrin.

"Baginda sangat memberi perhatian kepada kepimpinan negeri, nasib rakyat jelata yang terjejas dengan Covid-19 dan sudah tentu baginda mahu apa-apa konflik kemelut politik menjadikan Covid-19 lebih memberi kesan kepada rakyat itu diselesaikan.

"Oleh itu, saya akan memastikan supaya seluruh lapisan pimpinan benar-benar akan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dititahkan oleh Tuanku sebentar tadi," katanya.

Dalam pada itu, Saarani turut merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang mengetuai jentera kerajaan negeri bersama barisan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan seluruh kakitangan awam.

Beliau turut berharap agar semua pihak dapat bersama-sama kembali merapatkan saf bagi menggembleng usaha serta tenaga demi kesejahteraan negeri dan rakyat.