220 gajah di Kelantan terancam

Perhilitan ambil pelbagai langkah melindungi sekurang-kurangnya 220 gajah di Kelantan yang kehidupan mereka semakin terancam akibat pembangunan. - Gambar hiasan 123RF
Perhilitan ambil pelbagai langkah melindungi sekurang-kurangnya 220 gajah di Kelantan yang kehidupan mereka semakin terancam akibat pembangunan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil pelbagai langkah melindungi sekurang-kurangnya 220 gajah di Kelantan yang kehidupan mereka semakin terancam akibat pembangunan.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hani berkata, gajah menjadi haiwan liar kedua tertinggi terancam di negeri berkenaan selepas spesies kera dengan ancaman utama membabitkan kehilangan habitat asal susulan pembinaan empangan dan pembukaan ladang pertanian.

"Ancaman lain adalah disebabkan fragmentasi hutan (akibat pembalakan, perlombongan, pembinaan jalan raya), pemburuan haram, pembunuhan akibat konflik (gajah diracun manusia) dan masalah genetik serta demografi akibat saiz populasi yang kecil," katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ady Ermanty berkata, kesan daripada tekanan yang dihadapi oleh populasi gajah liar itu juga mewujudkan konflik dengan manusia di kawasan perkampungan dan perladangan.

"Demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kelestarian populasi gajah liar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menjalankan kaedah pengurusan jangka pendek serta panjang bagi tujuan mitigasi konflik gajah di kawasan perkampungan.

"Antara pengurusan jangka pendek ialah kaedah ‘tembak halau’ dan pemantauan. Pengurusan hidupan liar konflik yang dijalankan adalah selaras dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 yang bertujuan untuk memastikan semua spesies hidupan liar diurus secara efektif," katanya.

Beliau berkata, bagi kaedah pengurusan jangka panjang pula, Perhilitan mengambil inisiatif membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) sejak 2009.

"Sebanyak tiga buah SPEG telah dibina di kawasan konflik gajah iaitu Kampung Sungai Rual dan Kampung Batu Melintang di Jeli serta Pos Pasik di Gua Musang melibatkan kos RM1.8 juta dengan ukuran panjang keseluruhan pagar 31.8 kilometer.

Artikel Berkaitan:

"Pembinaan SPEG bertujuan menghalang pergerakan gajah daripada memasuki kawasan pertanian dan penempatan penduduk yang merupakan antara usaha mengekalkan populasi gajah liar di habitat asalnya sambil mengurangkan konflik di penempatan manusia," katanya.

Beliau berkata, populasi gajah di Kelantan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut lima daerah utama iaitu Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang.

Ady Ermanty turut berkata, Perhilitan Kelantan berjaya menangkap dan memindahkan 16 ekor gajah di negeri itu sepanjang tahun ini ke habitat baharu di Kompleks Taman Negara dan hutan simpan negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Lima jam pindah gajah liar