CCTV bongkar kegiatan mekanik curi alat ganti motosikal

Suspek tidak menyedari perbuatan mereka dirakam CCTV. Gambar kecil: Aci sesondol berjaya ditemui semula daripada suspek.
Suspek tidak menyedari perbuatan mereka dirakam CCTV. Gambar kecil: Aci sesondol berjaya ditemui semula daripada suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya membongkar kegiatan dua lelaki yang mencuri alat ganti motosikal di sebuah bengkel di Jalan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini pada 24 November lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, perkara itu disedari pemilik bengkel berkenaan selepas membuat kiraan stok dan mendapati komponen aci sesondol (cam shaft) tidak mencukupi.

Curiga dengan keadaan itu, dia kemudiannya membuat semakan CCTV dan mendapati dua lelaki terbabit mencuri alat ganti berkenaan ketika datang ke bengkelnya kira-kira jam 4.30 petang.

"Daripada rakaman CCTV itu mendapati dua lelaki terbabit berpura-pura ingin membeli barangan alat ganti motosikal dan mereka mengambil kesempatan berikutan ketika itu terdapat ramai pelanggan di bengkel berkenaan.

"Salah seorang suspek kemudiannya telah mencuri dengan mengambil alat ganti berkenaan dan menyembunyikan di dalam pakaian sebelum mereka terus beredar dari kedai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, selepas menerima laporan kejadian berkenaan semalam, pihaknya menggerakkan Ops Cantas bagi mengesan dua suspek terbabit.

Katanya, berdasarkan rakaman CCTV pihaknya berjaya mengesan identiti suspek sebelum menangkap mereka di sebuah bengkel motosikal di Jalan Butterworth malam tadi.

"Kedua-dua suspek merupakan mekanik itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah dan mengaku terlibat dengan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis merampas semula alat ganti terbabit yang bernilai RM230 di bengkel mereka berserta serangkai kunci,"katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 29 dan 30 tahun itu juga positif dadah dan kini direman untuk tindakan lanjut serta akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.