KOM idam miliki ibu pejabat sendiri

Datuk Karim Ibrahim
Datuk Karim Ibrahim
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) dijangka memiliki ibu pejabat sendiri menerusi geran AS$25,000 (kira-kira RM100,000) yang diluluskan Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, adalah menjadi impian beliau buat sekian lama untuk badan itu memiliki ibu pejabat sendiri.

“Kami tidak memiliki bangunan sendiri walaupun kami adalah satu daripada persatuan tertua di Malaysia, yang ditubuhkan pada 1906 di Perak.

"Kami berpindah dari satu tempat ke satu tempat, seperti penanaman pindah,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak mendapat perhatian sebelum ini dan pada Mesyuarat Agung Tahunan lepas di Ipoh, Ahli Majlis KOM memberikan lampu hijau untuk mengumpul dana kerana KOM tidak mempunyai wang yang diperlukan untuk membayar deposit bagi membeli premis baharu.

“Sekarang, IAAF telah meluluskan geran itu dan kami akan menggunakannya sebagai deposit. Kami akan menyediakan dokumen yang diperlukan untuk membeli bangunan baharu itu,” katanya.

Selain daripada menjadi pusat pengurusan, ibu pejabat baharu yang dicadangkan itu juga akan dilengkapi antaranya bilik mesyuarat dan sebuah perpustakaan.

“Jika kami tidak menggunakan dana itu, kami mungkin terpaksa memulangkannya kepada IAAF,” katanya sambil menambah IAAF tidak gemar pertukaran alamat pejabat KOM yang kerap.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, KOM membayar lebih RM2,000 sebulan untuk sewa pejabatnya sekarang.

Karim mendedahkan tiga lokasi telah disenarai pendek sebagai cadangan bagi ibu pejabat baharu itu.

“Kami kini mempunyai tiga lokasi dalam fikiran kami, kami akan mencadangkan kepada anggota majlis untuk membuat keputusan. Tetapi dari segi geografi, ia adalah mudah untuk ke Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari lokasi yang dipilih,” katanya. - Bernama