Semangat Ezuan tidak luntur

Ezuan masih bersemangat memburu tempat dalam skuad menembak kebangsaan.
Ezuan masih bersemangat memburu tempat dalam skuad menembak kebangsaan.
A
A
A

PENGGUGURAN daripada skuad kebangsaan pada awal tahun ini tidak mematahkan semangat penembak veteran, Muhammad Ezuan Nasir Khan untuk kembali menggalas cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

Ezuan berkata, pengguguran berkenaan bukanlah kali pertama memandangkan dia pernah mengalami nasib sama sebelum ini, dengan kali terakhir pada 2017 bersama tiga lagi penembak - Nur Ayuni Farhana Abdul Halim, Nur Suryani Taibi dan Muslifah Zukifli disebabkan penurunan prestasi.

Menurutnya, dia masih boleh menggunakan kemudahan menembak di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, namun tidak memperoleh sebarang elaun daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana tidak lagi berada dalam Program Podium.

"Saya tetap meneruskan latihan seperti biasa di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun hadapan.

"Bagi saya, tiada perbezaan ketara kemudahan latihan di Lumut dan di Bukit Jalil. Cuma di sini (Lumut) menggunakan papan tembakan yang perlu ditukar secara manual berbanding papan tembakan automatik di Bukit Jalil,” jelas pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014 itu.

Dalam pada itu, Ezuan yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), menyasarkan untuk memperbaiki catatan peribadi terbaiknya pada tahun hadapan selepas beberapa kejohanan tempatan yang dirancang pada tahun ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Ezuan pernah melakar rekod kebangsaan dalam acara 10 meter (m) air rifle dan 50m rifle pada Kejohanan Menembak Trofi Tun Hanif 2017 - masing-masing menerusi catatan 244.7 mata dan 246.9 mata sebelum rekod kedua-dua acara berkenaan diperbaharui oleh penembak lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: