X

Kindly register in order to view this article
!

Bernas terus diberikan mandat

Haslina (kiri), Ronald (dua dari kiri), Rohani (tiga dari kiri) dan Ismail selepas menandatangani perjanjian konsesi di antara kerajaan dan Bernas yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

KUALA LUMPUR - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diberi hak pengimport beras ke dalam negara berdasarkan kuota bagi menampung kekurangan pengeluaran dalam negara seperti yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kerajaan bersetuju konsesi penswastaan Bernas dilanjutkan selama 10 tahun bermula Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

Menurutnya, lanjutan itu penting dan relevan dalam melindungi komoditi strategik khususnya beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kesan penularan pandemik Covid-19, jaminan bekalan makanan negara perlu diberi keutamaan. Dengan pengalaman sedia ada yang dimiliki oleh Bernas selama 24 tahun dalam industri akan dapat membantu kerajaan dalam memastikan kestabilan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia untuk jangka masa panjang.

“Kerajaan telah memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi pada setiap masa dan akan terus memastikan pengurusan industri yang lebih efisien dan berdaya saing serta memastikan bekalan beras negara sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi di antara Kerajaan Malaysia dan Bernas di Auditorium Ahmad Sarji, Lembaga Pertubuhan Peladang di sini.

Perjanjian konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Bernas ditandatangani oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid mewakili kerajaan Malaysia dan Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusoff dan Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mewakili Bernas dan disaksikan oleh Ronald.

Hadir sama, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Penasihat Yayasan Al Bulkhary, Datuk Seri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Dr Anis Mahmud dan Ketua Pengarah Industri Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Ronald berkata, kerajaan melalui MAFI, Unit Kerja Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Jabatan Akauantan Negara (JANM) telah mengadakan beberapa rundingan bersama Bernas bertujuan meneliti dan memuktamadkan terma, syarat serta perjanjian konsesi bagi memastikan kepentingan Kerajaan sentiasa dilindungi.

“Sebagai timbal balik, Bernas perlu melaksanakan Obligasi Sosial yang ditetapkan oleh kerajaan dan secara keseluruhan, konsesi baharu telah ditambahbaik dan beberapa terma baharu dibuat termasuk penambahan bilangan Obligasi Sosial daripada lima kepada 10.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Haslina Abdul Hamid mewakili MAFI dan Pengarah Urusan Bernas, Isdanal Mohamed Yusoff dan Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mewakili Bernas menandatangi perjanjian dalam program itu. Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Haslina Abdul Hamid mewakili MAFI dan Pengarah Urusan Bernas, Isdanal Mohamed Yusoff dan Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mewakili Bernas menandatangi perjanjian dalam program itu. Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Obligasi berkenaan ialah memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti yang ditetapkan oleh kerajaan (termasuk pembelian stok penimbal beras negara secara one-off sebanyak 140,000 metrik tan) dan mengekalkan peranan bagi bertindak sebagai pembeli terakhir untuk para petani padi,” katanya.

Ronald berkata, Bernas perlu menguruskan Pembayaran ubsidi Kepada Petani di bawah Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) mengikut kadar yang ditetapkan oleh Kerajaan dan menguruskan Skim Pengilang, Pemborong dan Koperasi Petani serta memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanisasi padi.

“Bernas juga perlu membangunkan sawah berskala besar, menyediakan dana bagi pengurusan stok penimbal benih padi negara, memberikan bantuan tabung bencana dan menyediakan dana bagi pembangunan sistem maklumat industri padi dan beras serta menguruskan nutrien tanah sawah,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemantauan sebagai badan penilai akan terus memantau pelaksanaan Obligasi Sosial Bernas berdasarkan KPI yang telah ditetapkan bagi setiap Obligasi Sosial yang telah dipersetujui.

“Perjanjian dengan Bernas juga telah memperuntukkan klausa berkaitan KPI yang mensyaratkan Bernas perlu mematuhi objektif perjanjian dan tahap perkhidmatan seperti yang telah dipersetujui,” katanya.

Sementara itu, Rohani berkata, Bernas komited dalam memenuhi mandat yang diberi dan akan bekerjasama dengan MAFI bagi memastikan bekalan makanan negara terus dipelihara dan pada masa yang sama merealisasikan perancangan kementerian untuk memperkasa industri pada dan beras tempatan.

“Pemerkasaan sektor pengeluaran padi dan beras tempatan bukan sahaja penting dalam menjamin pendapatan pesawah tetapi ia menjadi pemangkin kepada usaha untuk menjamin keselamatan makanan negara sekaligus menjamin kepentingan rakyat sebagai pengguna,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!