Disangka pelepah kelapa rupanya mayat jiran

Jamaluddin (kiri) menunjukkan lokasi penemuan mayat jirannya di Kampung Kedah, Kampung Kuantan malam kelmarin. (Gambar kecil: Majenah Ketik)
Jamaluddin (kiri) menunjukkan lokasi penemuan mayat jirannya di Kampung Kedah, Kampung Kuantan malam kelmarin. (Gambar kecil: Majenah Ketik)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki menyangka pelepah kelapa jatuh di atas jalan tetapi rupanya adalah mayat jirannya sendiri dalam kejadian di Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini, malam kelmarin.

Jamaluddin Dollah, 50, berkata, mayat Majenah Ketik, 79, ditemuinya kira-kira jam 7.40 malam dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala.

Menurutnya, semasa kejadian, dia dan isterinya, Jamaiah Saidin, 46, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas membeli barangan keperluan di Kuala Selangor.

"Saya turun dari motosikal kerana ingin mengalihkan 'pelepah pokok kelapa', tetapi terkejut rupanya mayat jiran yang berlumuran darah. Saya dan isteri kemudian bergegas memaklumkan kejadian kepada jiran berhampiran.

"Kami memang mengenali arwah," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat wanita warga emas ditemui terbaring atas jalan

Sementara itu anak saudara mangsa, Rohani Md Azit, 56, berkata, sebelum kejadian ibu saudaranya itu ada singgah di rumah ibunya kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Saya dimaklumkan arwah sempat makan tengah hari di sini sebelum pulang ke rumahnya yang berhampiran dengan rumah ibu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohani memberitahu, Allahyarham Majenah dipercayai keluar dari rumahnya dan sempat menghantar sayur kepada jirannya kira-kira jam 6.30 petang.

"Arwah kemudian pulang ke rumah semula dan kami dimaklumkan tentang penemuan mayatnya di tengah jalan," katanya.

Rohani yang menetap di Seksyen 7 Shah Alam hanya dimaklumkan kejadian itu selepas dihubungi adiknya, Hishammuddin, 46, kira-kira 7.55 malam.

"Saya baru selesai solat Maghrib dan adik maklumkan ibu saudara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring atas jalan.

"Saya berasa sedih dengan kejadian ini kerana menganggap arwah seperti emak sendiri kerana selalu jumpa setiap kali saya pulang ke kampung.

"Malah, arwah juga selalu menumpang makan di rumah emak dan kami baru saja membersihkan rumah arwah dan mengecat rumahnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

"Setakat ini kes masih lagi diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan kita masih menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, mayat seorang wanita warga emas berusia 78 tahun ditemui terbaring di atas jalan di Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini malam kelmarin.