Mayat wanita warga emas ditemui terbaring atas jalan

Anggota bomba dan penyelamat menjalankan ops sanitasi terhadap mayat wanita terbabit yang ditemui terbaring di atas jalan di Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini malam semalam. -Foto ihsan Facebook Bomba Kuala Selangor
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan ops sanitasi terhadap mayat wanita terbabit yang ditemui terbaring di atas jalan di Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini malam semalam. -Foto ihsan Facebook Bomba Kuala Selangor
A
A
A

KUALA SELANGOR - Mayat seorang wanita warga emas berusia 78 tahun ditemui terbaring di atas jalan di Kampung Kedah, Kampung Kuantan di sini malam semalam.

Mayat dipercayai berbangsa Melayu itu ditemui seorang lelaki yang menghubungi talian kecemasan MERS 999 kira-kira jam 8.11 malam memaklumkan penemuan mayat mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil pemeriksaan polis telah mengenalpasti identiti mangsa yang menetap bersama anak dan menantunya.

"Mangsa yang juga penghidap kencing manis merupakan penduduk tempatan dan lokasi ditemui kira-kira 80 meter dari rumah mangsa.

"Semasa kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari rumah jirannya pada lewat petang," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihak forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemeriksaan awal terdapat luka di kepala menyebabkan pendarahan.

"Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh esok setelah keputusan saringan Covid-19 diperoleh bagi mendapatkan punca kematian," katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai maklumat bagi membantu siasatan boleh berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Asisten Superintendan (ASP) Mohd Sufian Amin di talian 012-6149580.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebelum ini menerusi status dimuat naik di Facebook rasmi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor memaklumkan seramai empat anggotanya terlibat dalam ops sanitasi mayat terbabit awal tengah malam semalam.

Kenyataan itu memberitahu, operasi itu bermula jam 12.30 tengah malam dan berakhir jam 2 pagi tadi.