Pemuda UMNO desak kerajaan campur tangan henti penjualan aset TH

A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya campur tangan untuk segera menghentikan penjualan lambak aset ladang Tabung Haji Plantation Berhad (THP).

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai usaha terakhir, sebuah memorandum membantah penjualan tersebut telah diberikan kepada tiga menteri utama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan berkenaan dilakukan selepas THP dilihat masih berkeras meneruskan agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjual 76.2 peratus daripada aset ladang yang berkeluasan 101,019 hektar.

Menurutnya, THP juga gagal memberikan sebuah penjelasan yang memuaskan berkenaan dengan urusan jual beli melibatkan harga tanah yang terlibat dalam urusan tersebut.

“Sejak zaman kerajaan PH lagi, Pemuda UMNO telah membuat pendedahan setelah mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk dua anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco), mencetuskan banyak keraguan dan persoalan.

“Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran juru nilai profesional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh juru nilai yang baharu dan harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan.

“Walaupun kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia untuk membuat penilaian, THP didapati telah menulis sebanyak tiga kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pada hantaran yang sama, Asyraf memaklumkan bahawa memorandum tersebut telah diberikan oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Hasmuni Hassan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Turut menerima memorandum tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada masa sama, Asyraf turut berkongsikan beberapa perkara yang terkandung dalam memorandum tersebut yang mendesak supaya membatalkan serta-merta keputusan penjualan ini atas beberapa alasan.

Beliau berkata, antara sebab Pemuda UMNO menentang keputusan penjualan tersebut adalah kerana potensi yang dimiliki oleh aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP yang didapati bernilai tinggi dan berpotensi untuk dimajukan.

“Selain itu, Harga Minyak Sawit Mentah (CPO) kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan dan Harga Buah Tandan Segar Sawit (FFB) juga kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan

“Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP juga dilihat mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019),” katanya.

Sehubungan itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO mendesak kerajaan supaya menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP bagi memelihara kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit TH.

Katanya, Pemuda UMNO juga masih tidak berganjak dengan pendirian mereka agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman PH.