Guna laluan tikus rentas daerah hantar dadah

Suspek yang ditahan dipercayai menggunakan laluan tikus untuk sampai ke Sipitang.
Suspek yang ditahan dipercayai menggunakan laluan tikus untuk sampai ke Sipitang.
A
A
A

SIPITANG - Cubaan seorang lelaki dipercayai merentasi daerah dengan menggunakan laluan tikus untuk menghantar dadah gagal selepas ditahan di sebuah perhentian bas di Kampung Kalamauh, di sini tengah malam semalam.

Lelaki itu ditahan kira-kira jam 12.33 tengah bersama 51.2 gram dadah jenis syabu yang belum sempat diserahkan kepada rakannya di daerah itu ketika pemantauan Op Covid 19 di kawasan terbabit.

Lelaki berusia 22 tahun itu dikatakan aktif menghantar syabu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Difahamkan suspek dari Kota Kinabalu berjaya mengelak beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan di tiga daerah dengan menggunakan laluan tikus untuk sampai ke Sipitang.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, ketika ditahan suspek memaklumkan sedang menunggu rakannya untuk menghantar minyak.

"Bagaimanapun, alasan suspek tidak munasabah dan polis membuat pemeriksaan di bawah tempat duduk motosikalnya sebelum menemui dua paket syabu dengan anggaran kasar seberat 51.2 gram bernilai RM5,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Champin berkata, siasatan lanjut mendapati dadah itu dihantar ke Sipitang selepas rakan suspek menempahnya.

"Modus operandi pengedar dadah ialah mengupah orang luar dari Sipitang untuk menghantar bekalan dadah ke Sipitang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, barang rampasan termasuk syabu dan motosikal dibawa ke Balai Polis Sipitang untuk tindakan lanjut.

"Suspek didapati positif dadah amphetamine dan methamphetamine ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut termasuk bagi mengesan rakan subahatnya yang menempah serta penagih dadah di daerah ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Champin turut mengarahkan petugas di sekatan jalan raya di Kampung Naluyan supaya sentiasa membuat pemeriksaan teliti terhadap penunggang motosikal terutama yang datang dari luar Sipitang pada waktu malam kerana modus operandi tangkapan ini menggunakan motosikal untuk penghantar dadah syabu ke daerah ini.

"Saya juga memohon kerjasama penduduk supaya menyalurkan maklumat kepada polis supaya daerah ini bebas daripada penyalahgunaan dadah," katanya.