X

Kindly register in order to view this article
!

CSR, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai siap 2025

Mustapa
A
A

KOTA BHARU - Projek pembangunan negeri Kelantan membabitkan pembinaan Lebuh Raya Utama Tengah atau Central Spine Road (CSR) dan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai dijangka siap pada 2025.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, CSR dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan sejauh 295.7 kilometer (km) manakala Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sejauh 67.6 km yang keseluruhannya menelan kos RM 9.5 bilion.

Beliau berkata, projek CSR terbahagi kepada lima pakej iaitu Pakej 1 (Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan), Pakej 2 (Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan), Pakej 3 (Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang), Pakej 4 (Kampung Relong ke Raub, Pahang) dan Pakej 5 (Raub ke Bentong, Pahang).

“Jajaran CSR yang siap dan boleh digunakan ialah dari Merapoh ke Kampung Seberang Jelai sepanjang 62 km, iaitu 21 peratus daripada keseluruhan jajaran CSR.

“Sebahagian jajaran Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai yang siap digunakan oleh pengguna ialah dari Pasir Hor ke Ketereh sepanjang 13.85 km iaitu 20 peratus daripada keseluruhan jajahan KBKK,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor.

Mustapa berkata, apabila keseluruhan jajaran CSR dan KBKK siap kelak dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan pada waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan selain mengurangkan kadar kemalangan.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sebanyak RM815 juta diperuntukkan bagi kedua-dua projek berkenaan pada tahun hadapan dan RM165 juta daripada jumlah itu adalah untuk pelaksanaan projek KBKK.

“Peruntukan untuk projek CSR sebanyak RM270 juta manakala RM380 juta melibatkan jajaran CSR di Pahang.

“Kedua-dua projek berkenaan dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan apabila diluluskan pada peringkat jawatankuasa di persidangan Parlimen bermula esok,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dalam proses pemilihan kontraktor dijangka sebulan sebelum sebelum kerja-kerja pembesaran dapat dimulakan.

“Kita menyasarkan projek berkenaan dapat dimulakan awal tahun hadapan dan dijangka tiga hingga empat tahun siap,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!