Dipukul Bangla dengan batang besi

Tangkap layar daripada video yang tular menyaksikan mangsa dipukul berkali-kali oleh lelaki warga Bangladesh di Jalan Tebrau, Johor Bahru malam tadi.
Tangkap layar daripada video yang tular menyaksikan mangsa dipukul berkali-kali oleh lelaki warga Bangladesh di Jalan Tebrau, Johor Bahru malam tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki cedera di kepala, lengan dan kaki akibat dipukul lelaki warga Bangladesh menggunakan sebatang besi dalam satu kejadian pergaduhan di Jalan Tebrau di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pergaduhan tersebut pada jam 11.35 malam.

"Menurut maklumat daripada saksi, suspek bertindak memukul mangsa yang merupakan warga tempatan dengan menggunakan objek senjata dipercayai sebatang besi.

"Mangsa yang berusia 39 tahun telah menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini setelah mengalami cedera di bahagian kepala, lengan dan kaki.

"Usaha mengesan suspek dipercayai seorang lelaki Bangladesh sedang dijalankan pihak polis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengah malam tadi tular beberapa video pendek dalam Facebook memaparkan suspek yang memegang sebatang besi memukul mangsa berkali-kali tanpa henti dan dapat didengar mangsa meronta kesakitan.

Mohd Padzli berkata, setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat dan pada masa sama sedang menyiasat motif dan punca kejadian itu.

"Pihak polis mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi terus ke talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.