Pembangkang belum putuskan sokong Belanjawan Johor 2021

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pembangkang di Johor masih belum membuat keputusan menyokong atau menolak Belanjawan Johor 2021 untuk diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini minggu depan.

Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan berkata, setakat ini Pakatan Harapan (PH) belum ada kata putus lagi untuk menyokong pengundian bagi meluluskan belanjawan negeri tersebut.

"Perkara ini akan dibincangkan lagi. Pembentangan Belanjawan Johor 2021 memerlukan penelitian pihak pembangkang negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas pembentangan belanjawan negeri itu di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini kelmarin.

Kelmarin, kerajaan Johor membentangkan Belanjawan Johor 2021 yang merupakan belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta melibatkan 12 agenda utamanya antaranya melibatkan Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Prasaranan Johor dan Modal Insan Johor.

Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani berkata, terdapat tiga perkara yang perlu ditambah baik dan dikekalkan semasa pemerintahan PH dalam belanjawan berkenaan.

Kata beliau, antaranya melibatkan air percuma, biasiswa kepada pelajar dan peruntukan wakil rakyat pembangkang dinaikkan tiga kali ganda termasuk pemberian kad sihat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, peruntukan kepada 27 ADUN pembangkang yang dinaikkan daripada RM50,000 menjadi RM150,000 akan memudahkan mereka mendekati rakyat.

"Mungkin pengalaman Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad sendiri dalam tempoh 22 bulan menjadi pembangkang sukar tanpa bantuan dan peruntukan daripada kerajaan, jadi saya ucapkan terima kasih," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Bekok, Dr S Ramakrishnan berkata, secara keseluruhan belanjawan negeri tersebut memuaskan, namun berharap peruntukan kepada golongan sasar dapat dilaksanakan dengan tulus.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor khuatir peruntukan untuk golongan sasar tidak sampai disebabkan ketirisan kerana bantuan tersebut akan melalui pelbagai pihak dan agensi terlebih dahulu.

"Kita tidak mahu peruntukan yang kerajaan Johor mahu berikan diberi kepada penyokong parti tertentu sahaja, ini akan mengakibatkan matlamat atau sasaran contohnya membasmi kemiskinan tidak sampai," katanya.

Jelasnya, penyaluran sebarang peruntukan perlu dipantau dan diaudit supaya tiada ketirisan atau karenah birokrasi termasuk menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) supaya matlamat belanjawan itu tercapai.

Ditanya sama ada PH Johor akan menyokong belanjawan negeri itu untuk diluluskan, beliau beranggapan pembangkang di negeri itu tiada masalah untuk menyokongnya kerana tiada isu politik seperti belanjawan nasional.

"Saya fikir pembangkang akan sokong belanjawan negeri kerana Belanjawan Johor 2021 tidak kontroversi, lagipun perbezaan hanya dua kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan PH," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Johor bentang belanjawan defisit RM248.14 juta