X

Kindly register in order to view this article
!

Dengar jeriji pintu digegar, objek dilempar ke dinding rumah

Laporan portal Sinar Harian mengenai misteri ketukan pintu di rumah penduduk.
A
A

SABAK BERNAM - Penduduk di Taman Air Manis di sini bukan sahaja terdengar bunyi ketukan pintu rumah, malah lebih teruk apabila ada yang mendakwa berlaku gegaran pada jeriji pintu dan objek seakan-akan kayu dibaling berhampiran dinding tingkap bilik.

Seorang penduduk, Salamiah abdul Rahman, 45, berkata, kejadian jam 11.20 tengah malam itu berlaku ketika dia bersama dua anaknya berusia 10 dan lima tahun berehat sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah.

Menurutnya, ketika kejadian kebetulan suaminya, Hairol Razam Musa, 45, tiada di rumah kerana mengikuti pasukan Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) taman perumahan berkenaan.

"Saya dengar bunyi jeriji dapur digegarkan dengan terlalu kuat seperti hendak roboh walaupun dalam keadaan berkunci.

"Sepanjang menetap di sini lima tahun lalu, saya tidak pernah dengar jeriji itu bergoyang sebegitu rupa walaupun ribut atau angin kuat," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya, dia kemudian mengintai dari tingkap luar rumah dan terkejut apabila jeriji yang ditutup dan dikunci sebelum ini sudah terbuka luas.

"Sebelum suami keluar membuat rondaan, pintu ini memang suami sudah ditutup dan berkali-kali juga dia memeriksa keadaan pintu dapur rumah.

"Saya hairan apabila pintu rumah digegar beberapa kali, tapi tiada kelibat kelihatan hingga mengundang rasa seram kami sekeluarga," katanya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya enam rumah penduduk masing-masing tiga di Taman Air Manis dan Kampung Tebuk Pulai di sini dilaporkan menerima gangguan misteri bermula tengah malam hingga awal pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Misteri ketukan pintu terus hantui penduduk Sabak Bernam

'Dengar bunyi ketukan tapi tiada pelaku dalam CCTV'

Misteri ketukan pintu: Tidak seharusnya jadi perkara yang menakutkan

Seorang lagi penduduk di taman sama, Rohayu Asmawi, 53, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga pernah diganggu dengan bunyi ketukan misteri, tetapi kali ini dia dan anak perempuannya terdengar bunyi seakan objek dibaling berhampiran tingkap bilik tidur rumahnya.

Rohayu menunjukkan bunyi objek seakan dibaling berhampiran tingkap bilik tidur rumahnya.
Rohayu menunjukkan bunyi objek seakan dibaling berhampiran tingkap bilik tidur rumahnya.

Menurutnya, bunyi balingan kira-kira jam 10.45 malam tadi berlaku dua kali hingga anaknya yang berada di dalam bilik berasingan turut terdengar bunyi pelik berkenaan.

"Waktu itu saya berada di dalam bilik melayari internet di telefon bimbit sebelum dikejutkan dengan bunyi misteri seperti ada sesuatu dilemparkan pada dinding luar rumah.

"Tidak lama selepas itu saya dengar sekali lagi bunyi sama sebelum anak perempuan dari bilik belakang datang ke bilik saya beritahu terdengar bunyi aneh seperti ada balingan di depan rumah," katanya.

Katanya, seluruh tubuhnya menggigil ketakutan sejurus kejadian itu dan lebih mengejutkan apabila diperiksa tiada objek kelihatan dilemparkan di luar rumah.

"Kami dapati dinding luar rumah dalam keadaan baik dan tiada kesan seperti rumah kami diceroboh," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, selain dua rumah itu, pihaknya turut menerima satu aduan daripada penduduk memaklumkan terdapat bunyi ketukan misteri berlaku di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni.

Salamiah bersama suaminya dan Zulkifli (kiri) menunjukkan jeriji pintu rumahnya bergoyang hingga terbuka malam tadi.
Salamiah bersama suaminya dan Zulkifli (kiri) menunjukkan jeriji pintu rumahnya bergoyang hingga terbuka malam tadi.

Menurutnya, jiran bersebelahan rumah tidak berpenghuni memaklumkan mereka terdengar bunyi ketukan terlalu bising sebelum menghubunginya memaklumkan kejadian itu.

"Malam tadi sahaja, kami terima tiga aduan dan menjadikan sebanyak sembilan kes ketukan misteri berlaku di taman ini," katanya.

Katanya, seorang anggotanya yang menyertai rondaan itu mendakwa terlihat kelibat lembaga hitam melintasi salah satu lorong di taman itu.

"Saya berharap penduduk tidak terlalu panik dan kita meminta penduduk dapat bersama-sama membaca Yasin dan menunaikan solat hajat supaya dijauhi sebarang gangguan," katanya.

Dalam pada itu, seorang guru yang menetap di Kampung Tebuk Pulai, Zakiah Kasmuri, 49, berkata, anak bongsunya, Nur Fatin Nazlah Mohd Hisham, 14, terdengar bunyi ketukan berlaku hampir setengah jam di pintu dapur belakang rumah.

Zakiah mendakwa anaknya terdengar bunyi ketukan pada pintu bahagian dapur rumahnya awal pagi tadi.
Zakiah mendakwa anaknya terdengar bunyi ketukan pada pintu bahagian dapur rumahnya awal pagi tadi.

Katanya, kejadian kira-kira jam 2.25 pagi tadi berlaku ketika anaknya berada di bilik tidur bersama kakaknya, Nur Fatin Nuha, 20.

"Bunyi ketukan pada pintu ini kuat dan berselang seli tetapi berterusan sehingga hampir setengah jam sebelum Nazlah terdengar dua lagi ketukan pada jam 4 pagi.

"Saya hanya dimaklumkan kejadian ini selepas solat Subuh pagi tadi," katanya.

ARTIKEL BERKATIAN: Polis beri amaran tindakan tegas pihak cuba takutkan penduduk

Misteri ketukan pintu didakwa sudah sampai Kuala Selangor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!