Kenaikan bantuan bukti kerajaan prihatin

Kenaikan kadar bantuan antara 10 hingga 30 peratus untuk golongan rentan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan kerajaan menitikberatkan kelestarian bantuan kewangan kepada golongan sasar berkenaan. Foto Bernama
Kenaikan kadar bantuan antara 10 hingga 30 peratus untuk golongan rentan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan kerajaan menitikberatkan kelestarian bantuan kewangan kepada golongan sasar berkenaan. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan kadar bantuan antara 10 hingga 30 peratus untuk golongan rentan dalam Belanjawan 2021 menunjukkan kerajaan menitikberatkan kelestarian bantuan kewangan kepada golongan sasar berkenaan.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Azali Mohamed berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang diluluskan di peringkat dasar semalam turut membantu usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini selaras dengan matlamat pembangunan lestari yang ingin dicapai.

“Tumpuan juga lebih diutamakan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak miskin dan disusuli dengan warga emas yang paling terkesan, ketika pandemik koronavirus (Covid-19) melanda negara. Golongan ini sememangnya memerlukan sokongan kewangan terutama dalam keadaan sukar sekarang.

“Pada masa kini, bukan mudah untuk mendapat peluang pekerjaan atau berniaga terutamanya bagi golongan OKU, justeru peningkatan bantuan tepat pada waktunya,” katanya.

Mengulas lanjut, Azali berkata, sekiranya golongan berkenaan memanfaatkan bantuan yang diberikan, ia juga secara tidak langsung meningkatkan ekonomi domestik menerusi aliran tunai atas perbelanjaan yang dilakukan.

“Bagaimanapun, kenaikan kadar bantuan tersebut boleh diperhalusi dan disemak dari masa ke masa, mengikut keperluan selari dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) terkini setiap tahun.

“Hal ini kerana jumlah kenaikan yang diumumkan menteri hari ini, mungkin cukup atau relevan dengan kadar belanja pada tahun ini hingga tahun depan, tetapi pada masa akan datang harga barangan mungkin akan terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia, Datuk Rohaini Mohd Yusof yang berterima kasih dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) itu berkata, kenaikan bantuan berkenaan adalah pengiktirafan kepada sukarelawan warga emas.

Artikel Berkaitan:

“Kenaikan nilai sagu hati kepada sukarelawan di bawah Program Khidmat Bantu di Rumah yang akan dinaikkan daripada RM150 kepada maksimum RM400 seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021, seolah-olah mengiktiraf peranan kami dalam masyarakat warga emas.

“Saya harap dengan bantuan ini, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan ini, kerajaan dapat menjadikan kami sebagai rakan kongsi, dalam menjaga kebajikan warga emas walaupun di bawah agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai rumah orang tua, tetapi ia mungkin tidak mencukupi untuk menampung golongan itu,” katanya yang mempunyai kira-kira 170 sukarelawan di bawah persatuan itu.

Rohaini berkata, Malaysia yang bakal mencapai status negara tua menjelang 2030 juga akan menyebabkan pertambahan golongan itu, justeru bantuan tersebut secara tidak langsung dapat menggalakkan semangat kesukarelawanan, serta menarik golongan muda terlibat sebagai sukarelawan menjaga warga emas.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM6.5 bilion untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), yang akan dimanfaatkan 8.1 juta orang dan peruntukan RM2.2 bilion bagi membantu golongan kurang upaya.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Ia diluluskan dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang. - Bernama