Kepayahan bukan noktah segalanya

Kepayahan yang dialami sekarang ini tidak perlu dianggap seperti noktah dalam kehidupan kita sebaliknya harus bangkit berdepan realiti. - Foto 123RF
Kepayahan yang dialami sekarang ini tidak perlu dianggap seperti noktah dalam kehidupan kita sebaliknya harus bangkit berdepan realiti. - Foto 123RF
A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia sememangnya menjejaskan ekonomi negara dan kehidupan seharian orang ramai.

Setiap hari, tidak kira di media sosial atau di dada akhbar kita sering disajikan dengan berita mengenai insan ‘jiwa-jiwa kental’ yang terpaksa berdepan dengan dugaan diberhentikan kerja sehingga menjejaskan kehidupan keluarga mereka.

Benarlah, lain orang lain ceritanya, lain orang lain ujiannya dan ‘jiwa-jiwa kental’ yang dimiliki golongan itu mampu menjadikan keputusan yang diterima sebagai momentum semangat untuk mempositifkan diri dengan berusaha melakukan pelbagai cara bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka terpaksa kuat dan harus bangkit demi memastikan anak-anak kecil yang masih bersekolah, demi orang tua yang perlu dijaga cukup makan dan pakai.

Saya tersenyum melihat jiwa- jiwa kental ini yang berani bangkit biarpun dalam suasana pandemik, namun masih boleh membalas senyuman, masih boleh menyemai kasih sayang dan membahagiakan keluarga biarpun hanya memacakkan payung di depan rumah dengan menjual makanan, mahupun sarapan pagi demi meneruskan kelangsungan hidup.

Lihatlah insan-insan jiwa kental ini yang begitu sedar akan tanggungjawab kepada keluarga walaupun keuntungan diperoleh tidak seberapa, biarpun ada kalanya hanya lepas modal membeli bawang tepung dan minyak.

Benarlah kata orang bahagia itu tidak semestinya untuk orang kaya tapi boleh dimiliki sesiapa sahaja termasuk mereka berjiwa kental yang sanggup bersengkang mata dan bangun seawal pagi untuk memastikan di bawah payung yang dipacak ada juadah menjadi santapan dan menarik perhatian pelanggan.

Diuji

Artikel Berkaitan:

Teringat penulis menemuramah mereka yang dibuang kerja, bukan mahu memuji kerajaan, namun sekurang-kurangnya Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima sedikit sebanyak membantu sebagai modal mereka memulakan perniagaan.

Contohnya, Maryati Idzharuddin, 32, yang baru sebulan berhenti kerja sebagai operator kilang, tidak sedikit pun di wajahnya menggambarkan sedang menanggung beban berat ketika ditemu ramah minggu lalu.

Walaupun diuji dengan keputusan yang harus diterimanya, namun masih mampu tersenyum dengan menjual nasi lemak di hadapan rumah sewa di Kampung Durian Tunggal.

Begitu juga dengan seorang suri rumah Noradibah Mohd Shah, 34, tidak kedengaran keluhan dari bibirnya biarpun ada kala jualan sarapan pagi tidak kehabisan namun menganggap itu peluang untuk ALLAH SWT mengajarnya bersedekah iaitu berkongsi rezeki dengan orang lain.

Itu antara dua insan daripada ramai insan yang memiliki jiwa kental dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, sedar atau tidak pandemik Covid-19 ini juga sebenarnya mengajar kita untuk mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan kita.

Jika sebelum ini kita risau untuk menceburi bidang perniagaan atau malu untuk berniaga namun apabila kita kehilangan kerja, kita memaksa diri kita untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Belum cuba belum tahu. Itu perlu dijadikan semangat untuk kita yang sedang diuji.

Dalam kehidupan ini, adakalanya kita perlu belajar daripada pengalaman ketika kita tidak mempunyai apa-apa kerana saat itulah yang sebenarnya mengajar kita erti menghargai kehidupan.

Kepada individu yang terpaksa diberhentikan kerja atau hilang sumber pendapatan, ingatlah bahawa rezeki itu ada di mana-mana. Hanya kita yang perlu pandai mencarinya. Paling penting jangan mudah putus asa sebaliknya harus terus berikhtiar.

Kepayahan yang dialami sekarang ini tidak perlu dianggap seperti noktah dalam kehidupan kita sebaliknya harus bangkit berdepan realiti.

Moga pandemik Covid-19 terus hilang di muka bumi ini supaya semua orang boleh menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian edisi Melaka dan Negeri Sembilan