Agong zahir penghargaan Dewan Rakyat lulus Belanjawan 2021

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendukung titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang telah diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Pada masa sama, Datuk Pengelola juga memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

“Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan: