243 individu ditahan ingkar PKP: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 243 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 217 daripadanya dikompaun manakala 26 individu direman, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (79), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (48), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (40), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (20) dan lain-lain (56),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Beliau berkata, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 32 pendatang asing tanpa izin, dua tekong serta merampas 10 kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 75,212 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 75 hotel serta 18 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,711 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 405 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 64,096 individu telah dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Ops Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 35 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, lima zon jingga, tujuh zon kuning dan dua zon hijau melibatkan lapan negeri dan juga Labuan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, berdasarkan pemantauan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 12 jenis bekalan barangan, mendapati ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 753 pemeriksaan khas PKPP dan mendapati hanya satu premis yang tidak mematuhi SOP tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakkan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. - Bernama