Geng Kin berpakaian sukan aktif lakukan pecah rumah

Gambar rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di sebuah apartmen di Seri Kembangan pada 19 November lalu.
Gambar rakaman CCTV menunjukkan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di sebuah apartmen di Seri Kembangan pada 19 November lalu.
A
A
A

SERDANG - Polis mendedahkan taktik geng Kin yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dengan cara berpakaian sukan sambil berpura-pura bersenam di kawasan kediaman.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kumpulan penjenayah itu melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields, Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

"Helah itu terbongkar selepas tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan selepas memecah masuk sebuah unit apartmen di Seri Kembangan, di sini pada 19 November lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Razali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan memaklumkan rumah seorang penghuni di apartmen berkenaan dipecah masuk oleh beberapa individu pada jam 12 tengah hari.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen berkenaan, mereka mendapati terdapat sebuah kereta mencurigakan masuk ke dalam kawasan itu.

"Pengawal keselamatan terbabit bersama anak saudaranya kemudian cuba menahan kereta itu ketika ia dipandu keluar, namun kenderaan berkenaan terus merempuh palang di pondok keselamatan.

"Pengawal keselamatan itu terus menghubungi pihak polis sebelum sepasukan anggota polis berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 44 dan 52 tahun, tidak jauh dari apartmen berkenaan," katanya.

Dalam pada itu Razali berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan seorang wanita berusia 41 tahun di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Kita merampas dua kereta, pelbagai peralatan pecah rumah, beberapa barang antik serta barangan lain dianggarkan bernilai RM10,000," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi geng itu adalah menyasarkan rumah yang pernah disewa mereka dengan memakai pakaian sukan dan berpura-pura bersenam di kawasan kediaman berkenaan pada siang hari.

"Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing iaitu memecah masuk rumah, memantau keadaan sekeliling serta menunggu di dalam kenderaan,” katanya.

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan juga mendapati kesemua suspek memiliki antara lima hingga 14 rekod jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, penahanan tiga suspek terbabit, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields yang disyaki didalangi kumpulan berkenaan.

"Kesemua suspek terbabit direman sehingga 2 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.