X

Kindly register in order to view this article
!

'Amerika sudah kembali'

Joe Biden
A
A

WILMINGTON - Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk memimpin dunia sekali lagi dan membuka lembaran baharu dasar ‘Amerika First’ yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Kenyataan itu dikeluarkan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden ketika beliau memperkenalkan pasukan dasar luar dan keselamatan negara yang akan berada di bawah pemerintahan baharu di Rumah Putih selepas mendapat lampu hijau daripada Trump untuk melakukan proses peralihan kuasa.

“Amerika sudah kembali. Bersedia hadapi musuh dan tidak akan menolak sekutu kami. Bersiap sedia untuk membela nilai kami,” tegasnya pada sebuah acara di bandar kelahirannya di Wilmington, Delaware semalam.

Biden bagaimanapun dijangka berdepan cabaran untuk memulihkan semula hubungan dengan kebanyakan sekutu AS selepas pendahulunya menggunakan pendekatan antagonis terhadap pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), hubungan perdagangan dan tindakan menarik diri daripada perjanjian antarabangsa.

Menurut bekas Naib Presiden AS itu, pasukan yang dipilihnya termasuk pembantu paling dipercayai, Antony Blinken yang dicalonkan sebagai Setiausaha Negara akan mengubah 360 darjah ‘pemikiran dan kebiasaan lapuk’ yang diguna pakai pentadbiran Trump berhubung pendekatan terhadap hubungan luar.

Di bawah dasar hubungan luar pemerintahan Biden, beliau cenderung untuk mengambil pendekatan multilateral dan diplomatik yang bertujuan memulihkan hubungan Washington dengan sekutu utama serta mengetengahkan semula pelbagai isu termasuk perubahan iklim.

Biden berjanji untuk menjalinkan semula hubungan termasuk di rantau Asia Pasifik susulan konflik yang semakin meningkat dengan China disebabkan perang retorik dilancarkan Trump.

Kelmarin, Pennsylvania yang merupakan kubu kuat Republikan dan Mahkamah Agung Nevada mengesahkan kemenangan Biden selepas keputusan di kedua-dua negeri itu dipertikaikan kempen Trump. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!