Ras Adiba Pengerusi Bernama baharu

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) menyerahkan surat pelantikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu kepada Senator Ras Adiba Radzi di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) menyerahkan surat pelantikan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu kepada Senator Ras Adiba Radzi di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Senator Ras Adiba Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu dan menjadi wanita pertama yang memegang jawatan tersebut dalam sejarah 53 tahun agensi berita itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara itu di sini hari ini berkata, beliau akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat kuasa 23 November (semalam).

Saifuddin berkata, pelantikan bekas personaliti penyiaran berkenaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kita yakin Ras Adiba akan menerajui agensi tersebut ke tahap yang lebih baik di samping meningkatkan mutu dan kualiti penyampaian berita.

“Sebagai ‘orang lama’ dalam dunia penyiaran, saya yakin beliau punyai cukup pengalaman untuk bantu kita (Bernama) dalam penyampaian berita dan hal ehwal semasa,” katanya.

Ras Adiba yang dilantik sebagai Senator pada Mei tahun ini menggantikan Suhaimi Sulaiman yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Bernama pada 6 Ogos lalu.

Wanita kelahiran Petaling Jaya itu juga atlet para negara selain mengetuai OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu Senator Ras Adiba Radzi, ketika ditemu bual hari ini. Ras Adiba, 52, merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara tersebut berkata Ras Adiba akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat kuasa 23 Nov (semalam). - Foto Bernama
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu Senator Ras Adiba Radzi, ketika ditemu bual hari ini. Ras Adiba, 52, merupakan wanita pertama yang memegang jawatan itu. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah yang mengumumkan perkara tersebut berkata Ras Adiba akan berkhidmat selama tiga tahun berkuat kuasa 23 Nov (semalam). - Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Ras Adiba mampu membaiki elemen penting dalam sistem penyampaian penerangan, berita dan penceritaan di Bernama dan semua agensi di bawah kementerian itu amnya.

“Tetapi, ini bukan tentang Bernama sahaja tetapi dengan pelantikan beliau kita harap semua agensi di bawah kementerian ini dapat bekerjasama dengan lebih baik,” katanya.

Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun Ras Adiba dalam bidang pemberitaan, Saifuddin optimis peneraju baharu Bernama itu akan menjadikan produk berita agensi tersebut lebih berorientasikan manusia, selain membaiki elemen analisis, solusi dan pelaksanaan dalam sistem berita.

“Kita perlu tingkatkan human-centered news dan hal ehwal semasa, kadang-kadang saluran (media) kerajaan ini agak dry (kurang unsur perasaan), kita perlu mula menyelitkan lebih banyak unsur perasaan dalam laporan berita yang kita hantar keluar dan perbanyakkan kisah rakyat. Saya fikir Ras (Adiba) akan mainkan peranan penting dalam aspek ini,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba menyifatkan pelantikannya sebagai penghargaan kepada golongan wanita dan komuniti orang kurang upaya (OKU) selain berharap dapat melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan baik dan menjalinkan kerjasama erat dengan semua pihak.

“Insya-ALLAH, saya akan kongsikan lebih banyak idea yang segar, bekerja dengan pasukan sedia ada dan memberikan motivasi kepada kita semua untuk menghasilkan berita bertaraf tinggi untuk televisyen, radio dan juga pelanggan berita.

“Ini adalah waktu untuk saya mengembalikan semula pengalaman yang saya ada dalam bidang ini,” katanya yang kini terpaksa berkerusi roda akibat kecederaan tulang belakang yang dialaminya dalam nahas jalan raya di Petaling Jaya pada 11 Nov 1995.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang juga Ketua Pengarang, Datuk Mokhtar Hussain mengalu-alukan pelantikan tersebut sambil mengucapkan tahniah kepada Ras Adiba.

Katanya, pengalaman Ras Adiba sebagai personaliti TV akan membantu Bernama yang turut mengoperasikan stesen radio Bernama Radio dan saluran televisyen Bernama TV.

“Saya yakin pengerusi baharu kami ini akan menyumbangkan idea-idea yang segar untuk membawa Bernama ke peringkat lebih tinggi.

“Kami di Bernama gembira dapat bekerja dengan Ras Adiba bagi mengemudi agensi berita ini mengharungi tempoh yang mencabar akibat penularan koronavirus (Covid-19) sekarang selain landskap industri media yang sentiasa berubah dengan selamat,” katanya. - Bernama