Maut dilanggar ketika alih kereta

Kenderaan yang dinaiki Mohd Shukri rosak teruk akibat kemalangan itu.
Kenderaan yang dinaiki Mohd Shukri rosak teruk akibat kemalangan itu.
A
A
A

MACHANG - Seorang pengawal keselamatan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika mengalihkan kenderaannya ke tepi jalan dalam kejadian di Kampung Pangkal Petai di sini, pada jam 12 tengah malam tadi.

Mangsa, Mohd Sukri Seman, 44, yang beralamat di Kampung Chenerai, Alor Pasir, Pasir Mas meninggal dunia kira-kira 30 minit kemudian ketika mendapatkan rawatan di Hospital Machang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain berkata, kemalangan yang berlaku di Kilometer 47 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai melibatkan tiga buah kenderaan, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mangsa, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan kereta jenis Wolkswagen Golf.

Ketika kejadian, mangsa sedang mengalihkan kenderaannya ke tepi jalan bersama pemandu kereta selepas terbabit kemalangan di kawasan tersebut.

"Ketika mangsa sedang mengalihkan kenderaan dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu, tiba-tiba datang sebuah Hilux dari arah yang sama melanggar kenderaan jenis Wolkswagen Golf yang berada di belakang kereta mangsa sebelum melanggar kenderaan mangsa dan menyebabkan Mohd Shukri tercampak ke dalam longkang di kiri jalan.

"Sebelum itu, Toyota Hilux dari arah Kuala Krai-Kota Bharu tersebut dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum masuk semula ke laluan yang sama dan melanggar kedua-dua buah kereta itu," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan: