'Biar UMNO tentukan jalannya sendiri'

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO bukan dalam misi memberikan ihsan atau menolong mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti tersebut juga tidak mahu dipaksa menerima sesiapa untuk menjadi rakan politiknya.

"Hanya jauhari yang mengenal manikam. Keutamaan UMNO ialah kemenangan berganda dengan kerjasama Pas. Selebihnya, biar UMNO tentukan jalannya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, UMNO tidak menghalang Pas menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak, begitu juga Pas tidak perlu 'memaksa' UMNO menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pihaknya percaya kenyataan bahawa Pas tidak akan bersama UMNO tanpa Bersatu tidak mewakili pendirian keseluruhan parti.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, kenyataan tersebut hanya dikeluarkan oleh seorang individu yang bukan jurucakap parti berkenaan.

"UMNO dan Pas adalah pendiri Muafakat Nasional dan kerjasama keduanya adalah utuh dan telah banyak membuahkan kebaikan kepada politik Melayu Islam di Malaysia," katanya.

Jelasnya, piagam Muafakat Nasional tidak pernah menghalang Pas bekerjasama dengan sesiapapun, maka demikian juga yang UMNO harapkan daripada Pas tentang hubungan UMNO dengan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin kenyataan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO tanpa Bersatu dibuat oleh pihak yang mahu memusnahkan semangat Mafakat Nasional.

"UMNO dan Pas menyedari bahawa kepentingan tertinggi ialah rundingan kerusi pilihan raya antara keduanya sebagai sebahagian daripada Muafakat Nasional. Kedua-dua parti ini mempunyai sinergi yang meyakinkan.

"Pas pasti menyedari bahawa ada kerusi yang UMNO akan bertembung dengan Bersatu. Oleh kerana UMNO bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), maka apa jua rundingan dengan Bersatu adalah untuk UMNO lakukan terus dengan PN melalui BN," ujarnya.

Selain Pas katanya, kerjasama UMNO dengan parti lain adalah berdasarkan formula kemampuan parti tersebut memberikan UMNO kelebihan strategik untuk memenangi pilihan raya umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li saran UMNO kaji semula hubungan dengan Bersatu, Pas