Kerajaan belum putus lanjut tempoh konsesi PLUS

Kerajaan masih belum memutuskan untuk melanjutkan tempoh konsesi dengan PLUS sehingga tahun 2058.
Kerajaan masih belum memutuskan untuk melanjutkan tempoh konsesi dengan PLUS sehingga tahun 2058.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perjanjian untuk melanjutkan tempoh konsesi sehingga tahun 2058 antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) masih belum diputuskan setakat hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, pihaknya masih meneliti perkara itu dengan mengambil kira syarat unjuran hasil keuntungan menerusi perjanjian berkenaan antara PLUS dan kerajaan.

“Ia melibatkan tol dan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, khususnya kenaikan harga dan tempoh konsesi berkenaan bagi memastikan keseimbangan beban hutang kerajaan, rakyat dan konsesi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Eddin Syazlee (Bersatu-Kuala Pilah) berkata, pada masa ini kerajaan masih mengkaji dan meneliti beberapa pilihan bagi tujuan meringankan beban yang ditanggung kerajaan dan keseimbangkan keperluan pengguna lebuh raya.

“Pada masa sama, bebanan kewangan kerajaan terhadap pilihan ini akan dipertimbangkan dan mengambil kira impak ekonomi, keyakinan pelabur dalam dan luar negara serta kemampuan kewangan kerajaan secara keseluruhannya.

“Oleh itu, Memorandum Jemaah Menteri (MJM) membabitkan beberapa pihak mengenai hala tuju industri lebuh raya dijangka dibentangkan pada pertengahan bulan depan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan, kerajaan dianggar dapat menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi PLUS selama 38 tahun lagi.

Dr Mahathir berkata, penjimatan itu disebabkan kerajaan tidak akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS selepas tempoh konsesi dilanjutkan sehingga 2058.

Artikel Berkaitan: