Hina Agong: Lagi laporan polis terhadap ‘Desmond Yongkor’

Wan Roslan (kanan) bersama ahli Persatuan Penjana Malaysia Pahang membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, petang semalam.
Wan Roslan (kanan) bersama ahli Persatuan Penjana Malaysia Pahang membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, petang semalam.
A
A
A

KUANTAN - PH Maran kesal terhadap tindakan segelintir pengguna media sosial yang memuat naik kenyataan biadab menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setiausahanya, Muhamad Fauzri Abdul Mutalib berkata, tindakan biadab seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak berkenaan agar dijadikan iktibar kepada orang lain.

Menurutnya, PH Maran membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran semalam supaya pihak berkuasa bertindak dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang sengaja menghina Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja.

"Pemilik Facebook seperti ‘Desmond Yongkor’ sangat biadab dan tidak menghormati Institusi Raja dan Perlembagaan Persekutuan.

Laporan polis turut dibuat PH Maran, petang semalam.
Laporan polis turut dibuat PH Maran, petang semalam.

“Kami memandang serius perkara ini dan jika tidak dibendung, ia boleh menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Menjana Malaysia Pahang turut mengambil tindakan serupa apabila membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook itu di Balai Polis Kuantan, di sini, petang semalam.

Pengerusinya, Wan Roslan Wan Ishak berkata, laporan polis itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati terhadap tindakan individu berkenaan yang memuat naik kenyataan dan gambar yang jelas satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan itu satu penghinaan amat melampau dan boleh menimbulkan keresahan rakyat malah turut menghina Islam kerana Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua agama Islam di negara ini.

“Perbuatan seperti ini juga disifatkan sebagai mencabar dan menghina perlembagaan,” katanya.

Justeru beliau mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat supaya sikap biadab seperti itu tidak terus menular sehingga boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini.