Rakyat 23 negara disekat boleh masuk dengan kebenaran Imigresen

Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat 23 negara yang masih disekat daripada memasuki negara ini dalam usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19), boleh memasuki Malaysia untuk bertemu pasangan warga tempatan dengan syarat mereka mendapat kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian itu diberikan kepada golongan berkenaan walaupun negara belum membuka sempadan kepada negara-negara itu.

"Mereka tidak dihalang, asalkan mendapat kebenaran daripada Jabatan Imigresen dengan membuat permohonan melalui ‘My Travel Pass’ serta mengikut semua SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan termasuk menanggung kos kuarantin," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

September lepas, Malaysia menyekat kemasukan daripada 23 negara kerana negara-negara itu mencatat kes positif Covid-19 melebihi 150,000 kes.

Negara-negara itu adalah Amerika Syarikat; Brazil; India; Rusia; Peru; Colombia; Afrika Selatan; Mexico; Sepanyol; Argentina; Chile; Iran; United Kingdom; Bangladesh; Arab Saudi; Pakistan; Perancis; Turki; Itali; Jerman; Iraq; Filipina dan Indonesia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sehingga kini belum bercadang untuk mewajibkan ujian calitan bagi membenarkan mereka dari zon merah ke zon hijau.

Memperincikan mengenai hasil operasi pasukan petugas pematuhan SOP, Ismail Sabri berkata, seramai 318 individu di tahan semalam atas kesalahan ingkar arahan SOP.

Daripada jumlah itu, seramai 307 individu telah di kompaun manakala 11 di reman, katanya.

Artikel Berkaitan:

Op Benteng telah berjaya menahan 24 pendatang asing serta merampas enam kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara, katanya lagi. - Bernama