'Bukan mudah singkirkan Ozil'

Mesut Ozil
Mesut Ozil
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui bukan mudah untuk membuat keputusan menyingkirkan Mesut Ozil dan tidak mendaftarkan nama pemain itu dalam senarai pasukan The Gunners musim ini.

Menurutnya, dia terpaksa melakukannya dan menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan reputasi semasa pemain Jerman itu.

"Saya tahu ada pihak tidak percaya keputusan saya itu dibuat berdasarkan prestasi Ozil. Saya juga sukar untuk membuat keputusan menyingkirkannya daripada pasukan.

"Bagi saya, mana-mana pemain sekali pun tidak patut diperlakukan sedemikian, namun saya terpaksa melakukannya demi pasukan.

"Saya cuba untuk menjelaskan sebaik mungkin kepada penyokong dan semua orang kenapa keputusan ini terpaksa dibuat kerana mereka berhak tahu tetapi ada orang yang akan faham dan ada juga sebaliknya.

"Ketika kalah dalam perlawanan, namanya (Ozil) akan muncul dan jika anda tidak kalah, itu tidak akan terjadi. Pada akhirnya, saya terpaksa duduk di sini untuk membuat keputusan yang terbaik untuk kelab," katanya.

Terdahulu, Ozil disisihkan daripada pasukan utama Arsenal musim ini dan dipercayai tindakan kelab tersebut dibuat selepas pemain itu lantang mengkritik penindasan yang dilakukan pemerintah China terhadap etnik Islam Uighur tahun lalu.

Dalam masa sama, Arteta mengakui Ozil boleh kembali beraksi bersama pasukan dengan syarat dia boleh beraksi selama 90 minit dan tidak malas bergerak tanpa bola.

Artikel Berkaitan:

"Semua orang boleh kembali kepada pasukan dan saya fikir sejak saya tiba di sini, saya melihat beberapa pemain sudah mula menunjukkan prestasi mereka. Saya masih akan memberikan peluang kepada Ozil," katanya.